Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman berkata, syarikat itu turut membawakan pelan UniFi turbo yang menawarkan kelajuan jalur lebar lebih dua kali ganda untuk pelanggan sedia ada tanpa kos tambahan.

Selain itu ujar beliau, TM juga mengadakan pakej istimewa buat pelanggan pra-UniFi, sebelum ini dikenali sebagai Streamyx bagi menaik taraf pakej kepada UniFi dengan syarat berada di dalam kawasan liputan UniFi di seluruh negara.

“Pelan jalur lebar baharu ini akan memperkukuhkan kedudukan TM sebagai peneraju pasaran serta merealisasikan aspirasi jalur lebar nasional dari segi harga, kepantasan dan liputan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM, Nor Fadhilah Mohd. Ali; Naib Presiden Eksekutif UniFi, Imri Mokhtar dan Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Azizi A. Hadi.

Golongan B40 kini boleh mengakses jalur lebar berkelajuan tinggi pada harga 40 peratus le­bih rendah daripada pakej 30Mbps sedia ada dengan pendaftaran untuk pratempahan akan bermula 15 Julai ini menerusi www.unifi.com.my.

Kelajuan UniFi pelanggan sedia ada pula akan dinaik taraf secara berperingkat bermula 15 Ogos ini, sementara pelanggan baharu yang melanggan pelan UniFi sedia ada sebelum 31 Disember ini juga akan dinaik taraf pada tahun depan.

TM turut melancarkan semula pelan pasca bayar tanpa had iaitu UniFi Mobile yang memberikan pelanggan data, panggilan dan mesej tanpa had yang boleh diperoleh di semua premis UniFi atau laman web UniFi mulai 15 Julai ini.

Bazlan berkata, TM menyemak semula sasaran pertumbuhan perolehan 3.5 hingga empat peratus pada pengumuman sebelum ini dalam keadaan pasaran yang dinamik dan persekitaran operasi yang mencabar.

“Perniagaan berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya persaingan yang kian sengit, kos perniagaan dan operasi yang semakin tinggi, perbelanjaan syarikat yang lebih berhati-hati dan tekanan kawal selia yang meningkat.

“Kami menjangkakan pertumbuhan perolehan akan negatif satu peratus atau kekal rata, pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pada kira-kira RM1 bi­lion, manakala ukuran kepuasan pelanggan pula pada 72 mata,” katanya.

Tambah beliau, syarikat itu turut menyemak semula perbelanjaan modal (capex) bagi tahun ini antara 20 hingga 22 peratus daripada perolehan berbanding pengumuman awal tahun ini sekitar 20 hingga 30 peratus perolehan kumpulan.

“Ini akan melibatkan ke­utamaan kepada perbelanjaan rangkaian dan mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada seperti sebanyak 1.4 juta pot jalur lebar kumpulan yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya,” kata beliau.