Dalam kenyataan, syarikat telekomunikasi itu menjelaskan pihaknya sentiasa ko­mited untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan TM mempunyai proses di mana ia sentiasa berinteraksi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk berkongsi inisiatif-inisiatif pe­ngalaman pe­langgan.

Berhubung produk dan per­khidmatannya, TM berkata, setakat ini pihaknya telah selesai menaik taraf lebih 50 peratus daripada lebih 340,000 pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan liputan unifi kepada perkhidmatan unifi pada harga yang sama dengan pelan langganan sedia ada mereka.

“Baki 170,000 pelanggan Streamyx yang masih belum menyertai komuniti unifi diga­lakkan agar mengambil peluang untuk mendapatkan naik taraf percuma dan kami menyasarkan untuk melengkapkan akti­viti naik taraf unifi ini menjelang Mac 2019.

“Sementara itu, buat para pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan tanpa liputan unifi, kami komited untuk terus melabur dalam teknologi yang bersesuaian bagi membawakan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada mereka.

“Bagi kawasan yang tiada halangan teknologi, kami akan menggandakan kelajuan Streamyx pada harga yang sama dengan pelan jalur lebar sedia ada mereka, naik taraf sehingga 8Mbps atau menawarkan kepada mereka rumusan jalur lebar wayarles 4G LTE,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, TM menyasarkan untuk melengkapkan aktiviti naik taraf bagi hampir 180,000 pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan-kawasan bukan unifi ini menjelang Disember 2018.

“Namun, untuk menaik taraf baki 500,000 pelanggan Streamyx, TM mempelawa pihak kerajaan untuk berbincang bagi segera mencapai keputusan yang memberi manfaat bersama buat golongan pelanggan ini,” katanya.

Tambah kenyataan itu, bagi isu teknologi dan harga, TM berkata, pihaknya membuat pelaburan secara berterusan untuk mempertingkatkan kedua-dua rangkaian fiber dan rangkaian tembaga dari semasa ke semasa bagi menyediakan sambungan serta meningkatkan pengalaman pelanggan unifi dan juga Streamyx.

“Kami ingin menyatakan bahawa rangkaian tembaga me­­rupakan rangkaian legasi dan sentiasa mengalami pelbagai cabaran, terutama ke­ter­batasan dari segi teknologi. Keterbatasan ini lebih ketara untuk pelanggan Streamyx, di mana rangkaian tembaga hanya mampu memberi kelajuan sehingga 8Mbps.

“Ia memerlukan penyelesaian yang lebih berbentuk jangka panjang dan lebih kekal, yang pastinya akan mengambil masa untuk dilaksanakan serta mempunyai implikasi kewangan yang ketara. Kami mengharapkan pendekatan menang-menang secara kolaboratif dengan pihak kerajaan dalam me­nangani cabaran-cabaran yang di­hadapi oleh pelanggan Streamyx secara efektif, sehingga selesai,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai gangguan perkhidmatan TM, syarikat itu berkata, ia berlaku akibat beberapa insiden terputusnya kabel fiber berikutan kerja-kerja pembinaan oleh kontraktor pihak ketiga MRT di Sentul dan para kontraktor Sabak Bernam West Coast Expressway (WSE) di Sabak Bernam.

“Pasukan teknikal kami te­lah memulakan kerja-kerja baik pulih sebaik sahaja menerima laporan kerosakan. Kami ingin memaklumkan bahawa biarpun kerja-kerja membaiki dan menggantikan kabel fiber yang putus masih berjalan, kami telah meng­optimumkan rangkaian dengan mengalihkan trafik dan perkhidmatan yang terjejas dan te­lah pulih sepenuhnya pada pukul 10 pagi hari ini agar penga­laman internet kembali seperti biasa,” jelasnya.