Pelan strategik tiga tahun (2019-2021) itu akan menyaksikan TM memberi lebih tumpuan kepada kepuasan pengguna dan memperkukuh kesalinghubu­ng­an merentasi semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat itu ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai negara digital.

Hakikat yang perlu dihadapi TM adalah menjaga kesetiaan para pelanggan dan ini adalah cabaran utama buatnya kerana jika tidak, TM boleh kehilangan pelanggannya kepada penyedia

MENARA TM di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. UTUSAN/ABD RAZAK AID
MENARA TM di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. UTUSAN/ABD RAZAK AID 

perkhidmatan lain.

Memenuhi kepuasan pelanggan kini dilihat begitu kritikal kepada TM yang mempunyai 24,000 tenaga kerja setelah tiga kali melalui perubahan jawatan di peringkat tertinggi sejak tahun lalu.

Menerusi rangkaian tiga produk utamanya, sebanyak 2.23 juta isi rumah dan 400,000 perusahaan kecil dan sederhana menggunakan perkhidmatan unifi manakala 11,000 enterprise dan sektor awam melanggan perkhidmatan TM One dan 500 penyedia perkhidmatan antarabangsa dan domestik melanggan TM Global.

Pada masa ini, unifi menyum­bang 45 peratus kepada pendapatan TM, diikuti TM One (35 peratus) dan TM Global (16 peratus).

Menyedari perkara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar menyifatkan TM adalah hak milik rakyat dan seharusnya keperluan mereka menjadi keutamaan.

“Lebih 70 peratus pegangan TM dimiliki syarikat pelaburan kerajaan yang mempunyai kepentingan rakyat di dalamnya iaitu Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasio­nal Berhad (PNB).

“Atas sebab itu, pelan strategik ini akan memberi fokus kepada pelanggan dan kita akan memastikan semua warga TM mampu memenuhi keperluan ini. Saya tahu ini satu cabaran buat kami,” katanya dalam temu bual di sini baru-baru ini.

November lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, TM mencatatkan bilangan aduan tertinggi berbanding syarikat tele­komunikasi lain merangkumi rasa tidak puas hati pelanggan berhubung harga (21 peratus), ketiadaan liputan unifi (16 peratus), gangguan perkhidmatan unifi (13 peratus), bil (14 peratus), penyampaian perkhidmatan (14 peratus) dan lain-lain kategori (22 peratus).

Bagi tahun kewangan berak­hir 31 Disember 2018, keuntungan bersih TM menyusut sebanyak 83.52 peratus kepada RM153.154 juta berbanding RM929.749 juta bagi tempoh sama tahun lalu. Perolehan juga susut 2.2 peratus kepada RM11.82 bilion dalam tahun kewangan 2018 berbanding RM12.08 bilion pada 2017.

Imri berkata, tahun ini TM menjangkakan peratusan perolehan susut satu digit manakala perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pula diunjur lebih tinggi berbanding 2018.

“Di bawah TM Baharu ini juga kumpulan tidak memperuntukkan sebarang perbelanjaan modal (capex) tambahan sebaliknya hanya melibatkan capex yang sama seperti 2018 iaitu sebanyak 18 peratus daripada perolehan, berjumlah RM2.13 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, selain unifi, beliau mahu melihat landskap TM One yang lebih meluas tahun ini terutama daripada sektor awam yang menyediakan pelbagai peluang untuk direbut terutama dengan ledakan revolusi industri 4.0.

Mengenai 5G, katanya, TM akan terlibat dalam projek pe­rintis 5G pada April ini dipacu oleh MCMC menerusi perkongsian infrastruktur.

“Setakat ini, kita mempu­nyai 14 Evolusi Jangka Panjang (LTE) 4G untuk industri di Putrajaya yang akan menjadi sebahagian daripada projek pe­rintis ini,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia bukan ketinggalan dari segi keupayaan 5G tetapi perlu mengambil kira pembinaan komuniti atau perniagaan digital terma­suk pengalaman pengguna.

“Melangkah ke hadapan, manfaat yang perlu dibangunkan negara adalah penyelesai­an merentasi pelbagai industri termasuk pendidikan dan penjagaan kesihatan yang boleh dinikmati rakyat Malaysia. Ini bukan lagi mengenai kelajuan tetapi bagaimana mencipta manfaat daripada kelajuan yang dicapai ini,” katanya.