Ketua Pegawai Perolehan TM, Mohamad Mohamad Zain berkata, dalam tempoh itu juga ia menyaksikan kemahiran 450 vendor yang terlibat di bawah program itu telah dipertingkatkan terutama dari segi kualiti kerja supaya dapat mencapai kedudukan kukuh dan bersaing dalam pasaran.

Katanya, sebahagian daripada vendor yang dibangunkan menerusi program itu juga dinaik taraf daripada kontraktor penyelenggaraan kepada kontraktor pemasangan, iaitu daripada 43 rakan pemasangan (RP) yang ditawarkan kontrak, 20 vendor adalah daripada program tersebut.

“Pelantikan kontraktor RP ini merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Vendor yang bertujuan meningkatkan keseluruhan ekosistem vendor ke arah melahirkan Peneraju Korporat Bumiputera yang berdaya tahan pada masa akan datang.

“Kami melihat transformasi ini tepat pada masanya bukan sahaja untuk menggalakkan inovasi dalam ka­langan kontraktor tetapi kami mahu melahirkan syarikat bumiputera yang serba boleh dan seiring dengan hasrat kumpulan TM sebagai peneraju konvergens di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tahun ini, sebanyak 191 syarikat mengikuti latihan di bawah VDP dengan 177 daripadanya adalah kontraktor rangkaian akses (perkhidmatan kejuruteraan), pengilangan (11 syarikat) dan teknologi maklumat dan komunikasi (tiga syarikat). Ia berupaya mewujudkan 3,768 peluang pekerjaan.

Dalam tempoh 2014 hingga 2016, sebanyak RM1.24 bi­lion kontrak telah dianugerahkan kepada vendor VDP secara carve-out. Pa­da 2016 sahaja, TM men­g­agihkan RM464 juta kontrak carve-out daripada jumlah RM608 juta diperuntukkan melalui program Rakan Strategik dan juga projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 2 (HSBB2) dan Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB).

Bagi tempoh 2014 hingga 2016 juga, hampir RM2 bilion jumlah terkumpul dibelanjakan kepada vendor VDP dengan RM783 juta pada tahun lalu.

Menurut Mohamad, TM akan terus komited untuk me­ningkatkan kapasiti dan kemahiran vendor­nya menerusi pelancaran Program Transformasi Ekosistem Tenaga Kerja (WEST) yang memberi fokus kepada transformasi kontraktor penyelenggaraan dan operasi rangkaian.

Katanya, program WEST bertujuan menyediakan peluang kepada para vendor untuk terus berkembang menerusi peningkatan kecekapan dan skala ekonomi sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pihak kontraktor, komuniti perniagaan bumiputera dan kumpulan TM.

“Kami berharap dengan pembangunan program bumiputera secara menyeluruh ini, kami berupaya melahirkan sekurang-kurang­nya seorang usahawan yang boleh diangkat sebagai ‘jaguh di peringkat nasional’ manakala di peringkat serantau pula, kami mahu melahirkan dua syarikat bumiputera yang mampu bersaing di rantau ASEAN dalam tempoh tiga tahun,” katanya.