Ini kerana Tioman tidak memiliki kawasan yang luas untuk pembinaan laluan berlepas dan mendarat kapal terbang yang panjang, kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Badlisham Gha­zali.

“Kita sebenarnya telah beberapa kali melihat keadaan di Pulau Tioman tetapi masalah lapangan terbang di sini ialah ia memerlukan kawasan yang luas dan juga landasan yang panjang tapi tiada tempat yang sesuai untuk kapal terbang berlepas dan mendarat.

“Ia hanya boleh dibuat sekira­nya laut di sekitar pulau itu ditambak. Untuk itu, Berjaya perlu dapatkan kelulusan EIA kerana ia melibatkan isu alam sekitar. Bagi pihak kami, sudah tentu cadangan ini amat kami alu-alukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Badlisham berkata, kelulusan EIA amat perlu kerana kerja-kerja penambakan laut itu dikhuatiri akan memusnahkan terumbu karang di sekitar pulau tersebut selain keadaan geografinya yang berbukit-bukau memerlukan kajian yang lebih mendalam.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan baru-baru ini, mencadangkan pembinaan lapangan terbang tersebut dengan anggaran kos sekitar RM1.2 bilion yang akan dibiayai menerusi dana dalaman Berjaya dan juga pinjaman.

Portal berbahasa Inggeris mela­porkan, cadangan itu dibuat sebagai satu daripada usaha untuk membantu Pakatan Harapan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Malah menurut Vincent, pi­haknya akan mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan dan sekiranya mendapat kelulusan, ia akan diuruskan oleh kerajaan (merujuk kepada MAHB).

Difahamkan, lapangan terbang itu akan meningkatkan kehadiran pelancong ke Pulau Tioman yang merupakan antara 10 pulau tercantik di dunia.

Berdasarkan laman web Berjaya, kumpulan memiliki pusat peranginan Berjaya Tioman Resort di pulau tersebut. Pelancong yang hendak ke pulau itu perlu menaiki bot yang memakan masa selama dua jam ke Berjaya Jetty Tanjung Gemok.

Dalam usaha memendekkan perjalanan ke pulau itu juga, sebuah syarikat bumiputera, Systematic Aviation Sdn. Bhd. (SAS) mengambil inisiatif memba­ngunkan projek Landasan Terbang Lanjut di Rompin melibatkan kawasan seluas 16 hektar, merangkumi landasan sepanjang 853.4 meter dengan 12.2 meter lebar.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif SAS, Ismail Asha’ari ketika dihubungi berkata, projek tersebut masih menunggu kelulusan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum ia boleh dimulakan.

Selain menjadikan perjalanan ke Pulau Tioman hanya 20 minit berbanding dua jam, SAS juga mahu menjadikan Landasan Terbang Lanjut itu sebagai destinasi pilihan untuk pesawat ringan dari rantau ASEAN khususnya Si­ngapura, Bangkok, Thailand dan Batam, Indonesia.

Carian di internet mendapati, Lapangan Terbang Tioman terletak berhampiran Kampung Tekek di pulau tersebut dan hanya digunakan untuk perkhidmatan pesawat ringan bersaiz kecil. Landasannya juga hanya mempunyai satu laluan untuk berlepas dan mendarat.

Di Pulau Redang pula, Berjaya memiliki pusat peranginan mewah, The Taraas yang turut menawarkan penerbangan terus dari Subang Skypark Terminal menggunakan pesawat ATR 42-500 yang mengambil masa sejam.