Ketua Ekonomi dan Rakan Kongsi Deloitte China, Prof. Stephen Xu Sitao berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak berkepen­tingan yang lain sebaliknya perlu mengambil pendekatan tertentu untuk memahami keberkesanan dasar-dasar yang dilaksanakan China berbanding menjadi pemacu di peringkat serantau.

Katanya, dari segi pelaburan, dalam tempoh sembilan bulan berturut-turut China merupakan rakan dagang Malaysia terbesar kerana hubungan ekonomi yang komprehensif antara kedua-duanya telah dibina daripada asas yang kukuh.

“Mengambil contoh Australia, negara itu sejak beberapa tahun lalu mencatat jumlah eksport ke China hampir 35 hingga 36 peratus yang sebenarnya tinggi dan begitu juga Korea Selatan, suku daripada nilai eksportnya adalah ke China.

“Dalam konteks ini, saya melihat Malaysia belum lagi mencapai tahap tersebut. Ini kerana, Malaysia telah mempelbagaikan ekonomi dan rakan dagang. Jadi, tidak timbul isu mengenai pendedahan terlalu banyak pelabur dari China ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ucaptama mengenai Per­kem­bangan Ekonomi China dan Peranan Dalam Ekonomi Global pada Persidangan Perbankan Global Institut Pengamal Perbankan Bertauliah Asia (AICB) di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Eksekutif AICB, P. Prasad.

Persidangan dua hari bermula hari ini, diadakan dengan kerjasama Universiti Tsinghua bagi menyediakan platform kepada pemain industri untuk memahami sektor perbankan di China dan meneroka peluang-peluang yang disediakan.

Pelaburan China di Malaysia mula meningkat sejak Presiden Xi Jinping memimpin negara kuasa kedua ekonomi dunia itu pada 2012. Sejak 2009, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia (menggantikan Singapura) dengan hubungan dagangan dua hala tahun lalu sahaja berjumlah AS$83.4 bilion (RM356.91 bilion). China juga adalah pasaran eksport terbesar Malaysia.

Pada November tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membawa masuk urus niaga bernilai AS$33.6 bilion (RM143.79 bilion) ke Malaysia yang disifatkan pelaburan terbesar antara kedua-dua negara setakat ini.

Berdasarkan laporan Bloom­berg, China komited untuk me­ngimport barangan bernilai AS$2 trilion (RM8.56 trilion) dari Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang (melonjak hampir lapan kali ganda berbanding import pada 2016 dalam tempoh itu), selain meningkatkan pelaburan sehingga AS$150 bilion (RM641.92 bilion) ke negara ini dan menawarkan sehingga 10,000 tempat untuk menjalani latihan di negara itu.

Dalam pembentangannya, Xu Sitao berkata, China boleh mempelajari langkah Malaysia melaksanakan kawalan modal ketika krisis kewangan Asia pada 1998 dengan menambat ringgit pada RM3.80 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana kawalan itu dilakukan pada waktu yang tepat disebabkan sentimen ketika itu menyaksikan kebanyakan mata wang Asia berada dalam tekanan.

“Bagi China, jika mahu melaksanakan langkah kawalan modal lakukan pada ketika mata wang secara relatifnya berada di bawah nilai. Bagaimanapun, sama ada kita (China) mahu melakukannya ataupun tidak, saya tidak pasti,” katanya.