Justeru, dia sanggup membayar sesiapa sahaja yang menjadi ‘penganalisis saham’ yang tidak bertauliah untuk membuat kajian saham. Bagi pelabur terbabit, ini merupakan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak.

Saya tidak merasa hairan de­ng­an perkara ini kerana masyarakat kita memang gemar menceburi skim cepat kaya atau skim ponzi yang mempunyai konsep seolah-olah kita tidak perlu bekerja keras untuk memperoleh kesenangan dan kekayaan boleh diperoleh dengan jalan mudah.

Secara logiknya, sekiranya kita melihat kepada konsep tidak perlu bekerja keras untuk memperoleh kemewahan atau kesenangan, kita lihat bagaimana sesuatu empayar atau perniagaan yang besar lagi gah yang mana pemilik syarikat tersebut telah bekerja keras bertahun-tahun lamanya untuk mengecapi keuntungan yang menjadikan pemilik perniagaan tersebut kaya raya. Maka, tidak dapat dinafikan tiada istilah ‘duduk diam-diam dapat duit.’

Saya belum pernah mende­ngar orang yang mengikuti saranan atau buy call sentiasa membuat keuntungan yang lumayan. Mungkin sekali dua sahaja keuntungan yang diperoleh dan dicanangkan tetapi apabila mereka menanggung kerugian kerana buy call tidak menjadi, mereka akan berdiam diri dan tidak menghebahkannya.

Perkara ini amat lumrah dalam dunia saham di alam maya dan jika ia tidak dibendung, ditakuti akan menjadi satu virus yang menyerang setiap pelabur dan pedagang saham yang baru melibatkan diri dalam dunia saham. Justeru, pelabur dan pedagang saham baharu perlu berwaspada dan perlu mempunyai ilmu pelaburan saham.

Juga, kebanyakan status di media sosial lebih kepada pengiklanan kelas atau pembelajaran saham serta kisah-kisah manis sahaja tanpa memberi tunjuk ajar atau panduan kepada orang ramai.

Ada status di Facebook hanya dipenuhi dengan iklan seminar saham tanpa memberi sedikit input atau maklumat tentang pasaran saham lebih-lebih lagi pembelajaran saham yang dianjurkan oleh individu.

Ia seolah-seolah no money no talk atau tiada konsep memberi ilmu yang bermanfaat sebagai sumbangan kepada masyarakat. Sehinggakan untuk membuka akaun CDS juga perlu menghadiri kelas untuk belajar cara bagaimana ingin mula melabur.

Walhal, 20 tahun dahulu orang ramai tidak perlu membayar untuk belajar cara membuka akaun CDS atau untuk mengetahui cara bagaimana memohon saham IPO.

Orang ramai di waktu itu terus pergi ke broker saham dan remisier atau dealer yang akan menguruskannya terma­suk mengajar bagaimana untuk memohon saham IPO.

Dengan hanya mempamerkan iklan tanpa panduan atau maklumat berkenaan saham, orang ramai tidak didedahkan dengan risiko kejatuhan harga saham. Mereka disuapkan dengan keuntungan demi keuntungan serta memberikan cerita yang menarik mengenai dunia saham.

Juga, persepsi masyarakat yang menganggap sekiranya seminar atau kelas saham itu diberikan secara percuma atau dikenakan yuran yang murah, mereka ber­anggapan bahawa seminar atau kelas tersebut tidak mempunyai pengisian atau merupakan satu kelas pengenalan sahaja.

Sebaliknya, sekiranya yuran seminar atau kelas saham dikenakan agak mahal atau beribu-ribu ringgit, mereka sanggup membayarnya dan sememang­nya kelas yang mahal ini selalu mendapat sambutan yang menggalakkan. Inilah persepsi masyarakat kita.

Tidak dinafikan masyarakat Melayu masih ketinggalan di dalam bidang pelaburan saham dan masih ramai yang tidak menyedari peluang-peluang untuk menjana pendapatan di pasaran saham Bursa Malaysia.

Golongan yang tidak mampu untuk membayar yuran yang mahal menyalahkan pula pihak penganjur kerana mengenakan yuran mahal dengan alasan ramai yang tidak berpeluang mendapatkan pembelajaran saham kerana faktor kewangan.

Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, syarikat broker saham serta syarikat-syarikat pengeluar perisian carta ba­nyak mengadakan siri seminar sepanjang tahun tetapi ia masih tidak dapat mengubah persepsi masyarakat kita.

Walau bagaimanapun, semi­nar-seminar sedemikian kurang mendapat sambutan daripada dalam kalangan masyarakat Melayu berbanding kaum lain yang sentiasa memperkemaskan diri dengan maklumat saham.

Dari segi ilmu pengetahuan juga, masyarakat Melayu jauh ke­tinggalan walaupun pihak-pihak tertentu menyediakan kemudah­an untuk belajar secara percuma.

Kepada yang ingin mendapatkan pembelajaran saham secara percuma boleh mendaftar di http://bit.ly/simposiumsahamutusan2017