ABDUL RAHMAN DAHLAN
ABDUL RAHMAN DAHLAN

Malah, dalam laporan Bernama beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bertindak demi kepentingan rakyat Malaysia dalam usaha mencari tawaran yang lebih baik secara sah.

“Dalam kunjungannya ke Beijing, China, beliau juga menjelaskan konsortium baharu tersebut boleh terdiri daripada pemain konsortium terdahulu. Jadi, tidak ada isu dalam perkara ini.

“Urus niaga ini tidak berlaku sebarang ‘flip-flop’. Terdapat beberapa syarat yang tidak dipenuhi oleh konsortium sebelum ini, justeru, kerajaan mengambil keputusan untuk membatalkannya, secara sah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kepada pelatih yang menamatkan latihan di Akademi Latihan Pembinaan Terowong Gamuda Berhad-MMC di sini hari ini.

Baru-baru ini, TRX City Sdn. Bhd. (TRX City) mengumumkan perjanjian jualan saham dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn. Bhd. (CREC) melibatkan 60 peratus daripada modal terbitan dan berbayar kepada Bandar Malaysia Sdn. Bhd. telah luput kerana kegagalan syarikat memenuhi kewajipan pembayaran.

Dilaporkan, IWH-CREC Sdn. Bhd. gagal untuk membayar RM7.42 bilion untuk pegangan 60 peratus itu walaupun diberi beberapa kali lanjutan sejak Disember 2015.

Menurut TRX City, Kementerian Kewangan akan terus mengekalkan pemilikan 100 peratus dalam Bandar Malaysia dan memastikan pembangunan yang bermanfaat kepada negara.

Sementara itu, The Edge memetik Abdul Rahman sebagai berkata, IWH-CREC turut dibenarkan untuk membida projek Bandar Malaysia selagi tawaran tersebut adalah bersesuaian untuk kerajaan Malaysia.

Katanya, pembatalan itu perlu dilihat secara berasingan daripada hubungan kerajaan dengan IWH-CREC, yang turut melibatkan Tan Sri Lim Kang Hoo.

“Perdana Menteri menyatakan, kerajaan telah meminta tawaran baharu untuk projek Bandar Malaysia yang dirancang pada keluasan 194 hektar di tapak lapangan terbang lama Sungai Besi kerana nilai tanahnya sudah meningkat.

“Kang Hoo masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan melibatkan kerajaan, cuma syarat-syarat dengan Bandar Malaysia yang tidak dipenuhi. Bagaimanapun, Perdana Menteri telah menyatakan konsortium baharu nanti boleh melibatkan pemain konsortium terdahulu,” katanya.