Menurut Proton, polisi diskaun istimewa untuk pelanggan jualan korporat dan fleet merupakan amalan biasa dalam industri automotif serta perkara tersebut bukan hanya melibatkan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia.

Jelas syarikat automotif berkenaan, Proton turut mempunyai urus niaga yang sama dengan pelbagai koperasi, persatuan dan organisasi korporat ternama di Malaysia.

“Proton sentiasa menyediakan promosi jualan korporat dan fleet kepada pelanggan korporat, persatuan, organisasi dan institusi. Oleh itu, pemberian diskaun kepada Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia bukanlah sesuatu yang istimewa.

“Hal ini kerana, persatuan tersebut telah mengadakan perbincangan dengan Proton dan menyatakan sokongan untuk membeli kenderaan menerusi pakej khas yang dipersetujui kedua-dua belah pihak berdasarkan kepada bilangan ahli dan pekerja persatuan yang ramai,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Proton mengulas laporan yang dikeluarkan oleh Nanyang Siang Pau hari ini mengenai promosi istimewa sehingga 10 peratus ke atas semua ken­deraannya yang diberikan kepada Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia.

Promosi tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB), Li Chunrong dalam sebuah majlis makan malam bersama persatuan itu, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Proton menjelaskan, mana-mana koperasi, pertubuhan dan persatuan yang membeli jumlah kereta tertentu juga berhak menikmati tawaran yang sama tertakluk kepada terma dan syarat antara Proton dan pihak terbabit.

“Kami menghargai sokongan berterusan daripada syarikat dan persatuan serta berusaha untuk menyediakan perkhidmatan dan kualiti terbaik kepada semua pelanggan.

“Proton juga terharu dengan minat yang ditunjukkan kepada kami dan menjemput mana-mana persatuan atau syarikat yang bercadang untuk menikmati peluang yang sama supaya berhubung de­ngan kami,” jelasnya.