Tanpa perlu berdepan sebarang demonstrasi, Singapura akan menaikkan kadar GST daripada tujuh peratus kepada sembilan peratus antara 2021 hingga 2025 atas alasan kerajaan memerlukan dana yang lebih untuk menjayakan pembangunan ekonomi dan sosialnya.

Awal tahun ini, negara pengeluar minyak terbesar dunia, Arab Saudi juga terpaksa memper­kenalkan cukai seumpama GST bagi mengimbangi lebihan perbelanjaan kerajaannya yang mencecah lebih RM200 bilion sejak dua tahun lalu selain tidak mahu bergantung lagi dengan sumber minyak yang selama ini memberi kemewahan kepada rak­yatnya.

Mungkin dakwaan sesetengah pihak bahawa kedua-dua negara itu sanggup melaksanakan GST kerana pendapatan rakyatnya yang tinggi, tetapi benarkah semua rakyat Singapura hidup mewah dan tidak mengalami tekanan kos sara hidup? Bagaimana pula pencapaian ekonomi Arab Saudi jika dibandingkan dengan Malaysia?

Berdasarkan laporan media Singapura awal bulan ini, Channel NewsAsia, timbul kerisauan apabila pendapatan isi rumah bulanan median di negara itu tahun lalu mengalami peningkatan terendah sejak 2009 disebabkan isu-isu peluang pekerjaan.

Ini menunjukkan, sama ada peningkatan pendapatan itu tinggi atau sebaliknya, penstrukturan cukai tetap dilaksanakan bagi memenuhi keperluan semasa dan kepentingan masa depannya.

Selain menaikkan kadar cukai, Singapura akan turut mengenakan GST terhadap ekonomi digital se­perti khidmat penstriman filem dan muzik serta pembelian menerusi telefon pintar merangkumi penggunaan aplikasi Uber dan Grab.

Sebagaimana Malaysia, pe­ngenalan GST itu turut diimbangi dengan pelbagai program bantuan sosial berbentuk bayaran tunai seper­ti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), peningkatan geran rumah dan tanggungan kesihatan penduduknya terutama trend peningkatan kelompok warga emas.

Hampir semua negara maju serta berkembang pesat seperti United Kingdom (UK), Jepun, Amerika Syarikat (AS), India, Perancis, Korea Selatan dan Indonesia mempunyai GST atau cukai seumpamanya dikenali sebagai cukai nilai tambah (VAT).

Perkembangan semasa di Si­ngapura boleh dijadikan panduan bagaimana GST bukan sekadar cukai tetapi sebagai platform menstabilkan keperluan sesama penduduknya serta kepentingan masa depan negara itu.