Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Filipina berkembang dengan pesat baik dari segi ekonomi mahupun sosial selain mempunyai suasana politik yang stabil.

“Banyak peluang perdagangan dan pelaburan yang boleh diterokai oleh syarikat dari Malaysia dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan dan teknologi maklumat.

“Peluang di Filipina adalah sangat menggalakkan dengan mempunyai populasi 100 juta penduduk yang juga merupakan antara rakan dagangan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat meja bulat bersama ahli perniagaan Malaysia dan Filipina sempena Misi Pelaburan dan Perdagangan Filipina, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Mohd. Zamri Mohd. Kassim; Presiden Majlis Perniagaan Malaysia-Filipina (MPBC) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AlloyMtd, Datuk Dr. Azmil Khalid serta Presiden Majlis Perniagaan Filipina-Malaysia, Ramon S. Ang.

Misi pelaburan dan perdagangan kali ini tertumpu kepada sektor-sektor atau peluang baharu yang boleh diterokai oleh pelabur Malaysia di Filipina, selain usaha menarik syarikat-syarikat di negara itu melabur atau menanam modal di Malaysia.

Misi berkenaan juga bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan ekonomi Filipina dan Malaysia selain mengukuhkan hubungan perniagaan sedia ada.

Tambah Mustapa, sektor teknologi maklumat dilihat sebagai salah satu bidang yang mempunyai potensi untuk menarik pelabur dari Filipina.

Dalam pada itu, ujarnya, Malaysia juga akan menggiatkan usaha bagi menarik lebih ramai pelabur dari negara ini untuk menanam modal dalam pelbagai sektor.

Tahun lalu, Malaysia mengeksport kira-kira RM13 bilion nilai produk ke Filipina dengan barangan elektrik dan elektronik menyumbang 20.2 peratus daripada eksport.

Import dari Filipina pula bernilai RM5.16 bilion, dengan 63.9 peratus daripadanya membabitkan produk elektrik dan elektronik.