Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah itu yang diharap dapat memberi manfaat lebih meluas kepada rakyat akan melibatkan anak-anak syarikat dalam teras yang sama, dalam sektor perladangan, perhotelan, penjagaan kesihatan dan juga perumahan.

Katanya, langkah itu yang turut menjurus ke arah penjimatkan kos akan didahulukan dengan sektor perhotelan, dan proses ke arah itu yang sudah digerakkan akan dilaksanakan bila-bila masa apabila urusan selesai.

“Bagi sektor perhotelan, lima buah hotel milik kerajaan negeri yang akan diletakkan di bawah Konsortium TI (Terengganu Inc) Hotel & Resort, tidak lama lagi.

“Lima hotel yang terlibat ialah Primula Beach Resort, Permai Inn, Duyong Marina Resort, Paya Bunga Hotel dan hotel baharu yang dalam proses pembinaan di Pulau Poh, Tasik Kenyir,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Akademi TDM dan Pusat Timbang Komuniti di pekarangan Akademi TDM di Kompleks Kilang Sungai Tong, di sini hari ini.

Yang Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan, TDM Berhad, Datuk Mohamat Muda; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Datuk Sabri Mohd Nor dan ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar. - UTUSAN ONLINE