Ketua Pegawai Eksekutif My­HSR Corporation (MyHSR Corp.), Datuk Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, keputusan pembida yang berjaya akan diketahui pada Disember tahun ini setelah tender berkenaan ditutup pada akhir Jun ini.

Katanya, bagaimanapun pihak­nya masih lagi membuka tender tersebut kepada semua syarikat atau konsortium yang berminat bagi membolehkan pihaknya membuat keputusan terbaik.

“Dari enam negara tersebut, tidak bermakna kita akan me­ne­rima enam kertas cadangan sebaliknya ia boleh dibuat secara usaha sama atau melalui penggabungan beberapa syarikat. Buat masa ini, kita tidak mempunyai jumlah kertas cadangan yang diterima bagi tender Assetco.

“Tetapi kami berharap dan menggalakkan pembida yang berminat supaya terus mengemukakan bidaan mereka bagi memastikan kami mendapat nilai terbaik daripada sistem tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Rangkaian Bekalan Projek Rel dan Ekspo Kerjaya 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Pada 20 Disember lalu, MyHSR Corp. dan SG HSR Private Ltd. (SG HSR) mengumumkan akan memulakan bidaan bagi tender AssetCo yang akan bertanggungjawab untuk mereka bentuk, membina, membiayai dan menyelenggara projek berkenaan.

Minggu lalu, konsortium Malaysian Resources Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MRCB-Gamuda) dan Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd.-TH Properties Sdn. Bhd. (YTL-THP) memperoleh tender sebagai Rakan Kongsi Penyam­paian Projek (PDP) bagi kerja-kerja awam untuk projek tersebut.

Mohd. Nur Ismal berkata, Ma­lay­sia perlu membayar pampasan dalam jumlah yang besar sekiranya mengambil keputusan untuk membatalkan atau menangguhkan projek HSR setelah menandata­nga­ni perjanjian dengan Singapura.

Katanya, ini kerana menerusi perjanjian berkenaan (legal bin­ding) kedua-dua negara telah me­nyatakan komitmen untuk membangunkan projek tersebut secara bersama yang akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua buah negara.

“Jika kita buat keputusan te­ruskan atau tangguh, akibat yang ditanggung amat besar dengan Malaysia perlu membayar pampasan kepada pihak terlibat dan pastinya situasi ini tidak akan memanfaatkan sesiapapun,” katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal struktur projek tersebut, ia tidak melalui sebarang dana oleh kerajaan sebaliknya akan dibiayai oleh pembida yang berjaya menerusi kerjasama awam-swasta (PPP).

Dalam pada itu, pada majlis berkenaan, MyHSR Corp menandatangani perjanjian persefahaman dengan lapan universiti bagi membangunkan Akademi MyHSR dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan projek HSR.

Universiti terlibat ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Selain itu akademi tersebut mendapat kerjasama dengan ins­ti­tusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).