Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail berkata, meskipun begitu, pihaknya akan mengambil perhatian dan menilai secara serius tentang rungutan penumpang berkaitan tempat duduk tidak selesa dan kekurangan tandas itu.

“Kami melihat perkara ini de­ngan serius, namun, apa yang pen­ting adalah pengalaman pelanggan bersama MAB. Ini kerana, mereka menghabiskan sebanyak 90 peratus masa di tempat duduk sepanjang penerbangan dan bukan di tandas.

“Kami bangga kerana tempat duduk pesawat itu setanding, malah lebih panjang berbanding pesaing seperti Lufthansa, KLM dan British Airways. MAB ialah syarikat penerbangan premium dan bukan mewah seperti Emirates Airline,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjanjian Rakan Latihan Serantau antara MAB Academy dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bagi menjadi hab pembelajaran penerbangan pertama di Asia Tenggara di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Esekutif MAB Academy, Kapten Kamaruddin Kamilin; Pengarah Latihan dan Perundingan IATA, Guy Brazeau serta Ketua Serantau Asia Pasifik Perkhidmatan Pemasaran dan Komersial IATA, Craig Astridge.

Semalam, Kementerian Pe­ng­angkutan mengarahkan syarikat penerbangan tersebut untuk menyelesaikan segera isu ketidakpuasan hati pelanggan terhadap susun atur tempat duduk dan tandas dalam pesawat baharu, Airbus A350-900 XWB.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya menerima beberapa rungutan dan aduan penumpang mengenai tempat duduk tidak selesa dan tandas tidak mencukupi terutama di dalam kelas perniagaan pesawat berkenaan.

Tahun lalu, MAB menerima dua pesawat A350-900 XWB daripada keseluruhan enam pesawat yang akan diterima syarikat penerbang­an itu secara berperingkat-peringkat sehingga Mac ini menerusi pajakan daripada Air Lease Corporation.

Dalam pada itu, Kapten Izham turut menzahirkan keyakinan bahawa MAB akan kembali mencatatkan keuntungan pada suku pertama tahun 2019, meskipun berdepan dengan pelbagai prospek pasaran mencabar sepanjang tahun ini.

“MAB sedang berkembang dan semakin mendapat daya tarikan, sasaran kami adalah kembali mencatatkan keuntungan tahun ini. Kumpulan tahu aspirasi saya itu, namun suku pertama tahun depan adalah lebih realistik,” kata beliau.

Mengulas mengenai peningkatan dalam aktiviti pengambilan pekerja oleh MAB katanya, langkah itu diadakan bagi menangani kadar kekurangan tenaga kerja yang tinggi sebanyak 16 peratus berikutan rancangan pengembangan kumpulan.

“MAB terus tumbuh antara tiga hingga empat peratus. Jadi pengambilan ini perlu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja. Kami mengutamakan 6,000 kakitangan yang berhenti sebelum ini jika kemahiran mereka diperlukan,” katanya.