Ketua Pegawai Komersial­nya, Arved von zur Muehlen berkata, pengguna tidak lama lagi boleh menempah tiket penerbangan dan proses pembayaran melalui Facebook Messenger yang merupakan satu daripada tiga inisiatif digital baharu MAS.

Katanya, MAS hari ini memperkenalkan tiga inisiatif digital baharunya bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang ditawarkan agar lebih mesra pelanggan iaitu MHguardian, MHfeedback dan MHchat.

“MHguardian merupakan aplikasi yang membolehkan ibu bapa atau penjaga mengesan perjalanan anak mereka yang mengembara tanpa ditemani keluarga dengan syarikat pe­nerbangan nasional itu.

“MHfeedback pula adalah aplikasi mudah alih yang membolehkan pelanggan berkongsi maklum balas dengan segera mengenai pengalaman terhadap perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar bagi memperkenalkan aplikasi mudah alih MHguardian, MHfeedback dan MHchat di Bangunan Pe­ngurusan Penerbangan MAS di sini hari ini.

Menurut Muehlen, melalui ap­li­kasi mudah alih MHchat pula, pelanggan boleh membuat tempahan, pembayaran dan mendapatkan jadual pe­nerbangan masing-masing dengan pantas dan mudah.

“Pengenalan teknologi digital menunjukkan inisiatif MAS dalam memberikan layanan terbaik kepada pelanggan se­kali gus memberi kepuasan kepada mereka ketika menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu katanya, aplikasi mudah alih MHGuardian ha­nya akan dilancarkan pada suku ketiga manakala MHchat pula pada suku kedua tahun ini kerana masih dalam tempoh percubaan.

Dalam pada itu katanya, aplikasi mudah alih MHfeedback sudah boleh digunakan sejak Januari lalu dan orang ramai boleh memuat turun aplikasi tersebut untuk memberi maklum balas kepada MAS.

“Melalui MHfeedback pe­langgan boleh memberi maklum balas kepada kami de­ngan hanya mengimbas kod respon pantas (QR Code). Melalui aplikasi ini, pelanggan boleh meninggalkan sebarang komen,” katanya.