FOO CHEK LEE
FOO CHEK LEE

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee berkata, ini secara tidak langsung menutup peluang kepada syarikat tempatan walaupun kerajaan menyediakan 30 peratus peruntukan kerja kontrak untuk diberikan kepada syarikat tempatan.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan mengenai perkara tersebut sejak tahun lalu dan berharap perkara itu dapat diselesaikan.

“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana ini akan menjejaskan periuk nasi syarikat tempatan. Kami menyokong segala usaha kerajaan dalam projek infrastruktur termasuk projek One Belt One Road (OBOR) dan juga pelaburan asing.

“Tetapi keadaan ini perlu dipantau kerana jika tidak firma asing ini akan memperoleh ke­seluruhan rantaian kerja kontrak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Dialog Bersekutu MBAM di sini hari ini.

Sebelum ini Lembaga Pemba­ngunan Industri Pembinaan (CIDB) menyasarkan nilai projek pembinaan berjumlah RM180 bi­lion bagi 2018 didorong oleh projek pembangunan infrastruktur berimpak tinggi yang sedang dirancang dan dijalankan.

Ia termasuk Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), MRT, Lebuh Raya Pan Borneo, ECRL dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Pada sidang akhbar itu juga, MBAM menyentuh beberapa isu yang memerlukan perhatian kerajaan, antaranya mengehadkan import jentera berat memandangkan ia boleh didapati di dalam negara.

Jelas Chek Lee, dalam masa sama terdapat banyak kemasukan mesin berat dari luar negara sekali gus membunuh pembekal jentera tempatan.

Mengenai isu pekerja asing, beliau berkata, pihaknya masih menerima aduan tentang ke­sukaran syarikat untuk mendapatkan pekerja dan mahu kerajaan mengkaji perkara ber­kenaan.

“Proses ini perlu dipermudahkan dengan tempoh pempro­sesan dipendekkan supaya semua pendatang tanpa izin di negara ini boleh disahkan dengan cepat,” katanya.

Bagi bayaran levi, katanya, MBAM berharap ia dapat dibuat secara berperingkat dalam tempoh enam bulan atau separuh bayaran kepada kontraktor berbanding membayarnya secara penuh ketika ini.

Ditanya mengenai kepimpinan baharu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau berharap ia dapat memacu sektor pembinaan negara dan kemajuan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.