Bagi wanita bernama Azilah Akashah, 55, beliau terus bangkit dan berusaha untuk memastikan dunia perniagaan telekungnya menjadi satu realiti.


Segala-galanya tercetus ketika beliau mengerjakan umrah tahun lepas.


“Sewaktu di Mekah saya lihat banyak muslimah memakai telekung dan dari situ terdetik didalam hati untuk menghasilkn telekung buatan Malaysia.


“Apabila saya kembali ke tanah air, saya menghasilkan sendiri rekaan telekung dengan fabrik kain kapas yang diimport dari India,” kata Pengasas Telekung Qasha kepada wartawan Utusan Online usai majlis pelancaran Butik Telekung Qasha di sini, hari ini.


Bermodalkan hampir RM300,000, Azilah melahirkan dua jenis telekung iaitu khusus untuk dipakai muslimah yang mengerjakan umrah dan untuk solat.


Kata Azilah, beliau menamakan koleksi telekung dan butik miliknya yang terletak di Pusat Bandar Baru Bangi di sini sempena nama allahyarham ayahnya dengan tagline Biar Hati Berbicara.


Menggunakan warna putih keseluruhan bagi Telekung Qasha, Azilah mengakui telekong-telekong koleksi Butik Qasha adalah kembali kepada warna asal telekung.


“Memang benar Telekung Qasha menggunakan warna putih sahaja bahkan corak di kaki telekung dan kain telekung juga berwarna putih.


“Bagi saya putih adalah warna yang suci dan bersih. Jadi apabila kita menghadap Tuhan, putih lebih mendekatkan hati kita kepada Allah,” jelas Azilah yang pernah berkecimpung dalam bidang hartanah.


Azilah mengakui, telekung yang dihasilkannya hari ini mampu mengimbau kenangan di mana golongan ibu dan nenek pernah memakai telekung yang bermotifkan bunga reflesia dengan sulaman tebuk dijahit pada kaki telekung dan kaki kain telekung.


Bagaimanapun jelas Azilah, Telekung Qasha sesuai dan selesa untuk pemakaian generasi muda.


Katanya lagi, bagi telekung saiz midi, panjang telekung ialah 100 sentimeter manakala telekung untuk solat pula, panjangnya 120 sentimeter.


“Bahagian muka telekung pula bersaiz 34 sentimeter. Ia free size dan tidak perlu memakai anak telekung,” katanya.


Bermula dengan harga RM170 bagi sepasang telekung, Azilah memberikan potongan 15 peratus kepada pelanggan yang berkunjung ke butiknya.


Potongan itu ditawarkan pada hujung minggu ini.


Pada majlis pelancaran Butik Qasha yang disempurnakan oleh Ustazah Norhafizah Musa, Telekung Qasha yang didatangkan dengan dua jenis iaitu standard dan premier; menggunakan label nama anak-anak Azilah iaitu Telekung Tasha, Telekung Dalifa dan Telekung Zulaikha diperagakan untuk tontonan tetamu jemputan. - UTUSAN ONLINE