Walau bagaimanapun, se­ca­ra hakikatnya pelabur dan pe­da­gang saham tidak i­ngin rugi apabila membuat pelaburan. Seboleh-bolehnya, mereka i­­ngin sentiasa untung setiap kali membeli saham.

Boleh dikatakan masyarakat kita selain daripada gemar pelaburan yang menjanjikan keuntungan sahaja, mereka juga tidak suka untuk berusaha lebih. Pendek kata, dalam pelaburan saham juga mereka tidak gemar untuk membuat kajian, mencari maklumat saham atau membaca.

Justeru, sebagai jalan mudah, mereka akan mencari sumber-sumber atau saluran yang boleh memberi senarai saham yang dikatakan berpotensi naik atau watchlist. Mereka hanya i­ngin tahu apakah saham-saham yang bakal naik cepat dan naik dengan banyak tanpa bersusah-payah memperuntukkan masa melihat kaunter-kaunter turun naik sepanjang sesi dagangan Bursa Malaysia.

Ada juga yang memberi alasan bahawa mereka tidak mempunyai masa membuat kajian dan analisis saham mahupun membaca berita-berita dan laporan tentang pasaran saham. Justeru, jalan yang paling mudah ialah menyertai kumpulan-kumpulan saham di media sosial yang menyediakan senarai saham-saham setiap hari.

Kumpulan ini boleh jadi percuma mahupun berbayar secara bulanan. Selain daripada memberi buy call, terdapat juga yang memberi maklumat saham dan pendidikan saham oleh pengurusan kumpulan tersebut atau dipanggil sebagai admin di media sosial Facebook. Selain daripada itu terdapat juga kumpulan saham yang ditubuhkan menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram.

Admin atau pihak yang menguruskan kumpulan tersebut boleh jadi sesiapa sahaja termasuk tenaga pengajar seminar dan kelas saham itu sendiri. Ahli kumpulan dibenarkan berbincang sama ada secara dua hala ataupun sehala sahaja. Sesetengahnya juga akan menyertakan carta-carta saham dalam analisis saham mereka selain daripada bim­bingan dan panduan saham.

Inilah dia era baharu dalam pelaburan saham. Ia amat berbeza dengan sepuluh atau dua puluh tahun dahulu yang mana pelabur dan pedagang baharu agak sukar mendapat pendidikan dan bimbingan saham.

Juga, pendedahan tentang pelaburan dan perdagangan saham zaman ini amat meluas berbanding pada zaman 1990-an. Banyak broker saham dan institusi kewangan seperti bank pelaburan membuat semi­nar saham termasuk badan-badan swasta dan agensi-agensi kerajaan menganjurkan aktiviti pelaburan saham.

Ia termasuklah Utusan Mela­yu (Malaysia) Berhad yang te­lah menganjurkan Simposium Saham Utusan pada September tahun lepas serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) juga me­ngadakan seminar pelaburan saham Bursa Malaysia.

Dengan kemajuan teknologi dan digital, pasaran saham juga mengalami satu transformasi yang canggih dan semakin ke hadapan dengan terdapatnya aplikasi saham yang memberikan banyak maklumat dan be­rita-berita pasaran saham.

Ia termasuk juga analisis teknikal dan fundamental dan ia tidak hanya terhad kepada bursa tempatan malah kita boleh melihat pasaran global hanya menggunakan telefon pintar sahaja. Di samping itu, perisian-perisian carta permudahkan kita dari segi kajian saham. Ini belum termasuk sekiranya kita mempunyai penasihat robot (robot trading) seperti di luar negara.

Dengan caj pembrokeran transaksi saham yang kurang daripada satu peratus serta pemansuhan GST pada urus niaga saham termasuk permohonan saham terbitan permulaan (IPO) secara elektronik atau secara dalam talian, sepatutnya lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan pelaburan saham ini sebagai satu aktiviti sampingan selain daripada pekerjaan sedia ada.

Jika pemilikan hartanah merupakan satu perkara wajib bagi rakyat Malaysia, maka pelaburan saham juga perlu dijadikan satu aktiviti sampingan kepada yang ingin menjadikan pelaburan dan perdagangan saham sebagai alternatif sumber rezeki.

Walaupun pelaburan saham ini tidak menjanjikan seratus peratus keuntungan setiap kali kita membeli saham, dengan pelbagai sumber, perisian carta dan ilmu, kita boleh menge­lakkan daripada kerugian atau sekiranya-kurangnya dapat me­minimumkan kerugian dan memaksimumkan keuntungan.

Pelabur dan pedagang saham tidak perlu khuatir kerana terdapat badan-badan yang sentiasa memberi panduan dan bimbingan. Ini termasuk juga seminar-seminar saham percuma anjuran syarikat broker saham atau bank pelaburan, Bursa Malaysia dan SIDC.

Pelabur dan pedagang saham boleh memperoleh maklumat tentang seminar daripada laman sesawang tersebut.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.