Teknik yang dimaksudkan oleh mereka ini bermaksud teknik mengenal pasti saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang jika dibeli, akan naik banyak dalam masa yang singkat.

Memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi serta pendapatan bulanan yang tidak mencukupi membuatkan ramai orang menceburkan diri di dalam dunia saham, ter­desak untuk mendapatkan keu­ntungan dengan cepat.

Tidak dinafikan ramai orang mengikuti pembelajaran saham termasuk orang-orang yang telah mengalami kerugian di dalam skim ponzi atau lebih tepat telah tersontot dengan pelbagai skim-skim berunsur penipuan. Justeru, mangsa-mangsa skim ini telah beralih mencari alternatif lain untuk mendapatkan semula wang yang telah lebur dengan menghadiri bermacam-macam seminar termasuk seminar saham Bursa Malaysia.

Oleh kerana bebanan hutang serta perbelanjaan harian yang melebihi pendapatan bulanan, mereka yang telah mempu­nyai asas-asas pelaburan saham ­ingin membeli saham yang akan naik banyak dengan aliran kenaikan yang pantas. Seboleh-bolehnya, harga saham tersebut terus naik sejurus dibeli. Sebagai contoh, mereka hendak mencari saham yang naik pada hari yang sama mereka membeli saham tersebut. Atau setidak-tidaknya, naik keesokan harinya atau naik dalam tempoh kontra.

Kenaikan itu juga seboleh-bolehnya naik dengan banyak. Sebagai contoh, harga saham yang dibeli pada harga 20 sen perlu naik sekurang-kurangnya 5 sen atau lebih dalam sekelip mata atau dalam satu hari dagangan. Pedagang runcit ini akan membeli saham-saham murah kebiasaannya di bawah harga 30 sen dengan harapan modal yang kecil akan memberikan keuntungan yang besar.

Maka, dengan sebab inilah ramai yang sanggup membayar saranan-saranan saham atau buy call secara bulanan sebagai jalan pintas tanpa perlu bersusah-payah membuat kajian dan analisa saham. Mereka ini akan menyertai bermacam-macam kumpulan saham di media sosial Facebook, kumpulan watsapp dan telegram.

Mendengar atau membaca saranan saham atau buy call tidak salah tetapi ianya perlu diteliti dan dikaji serta berdasarkan kepada fakta dan sumber yang sahih.

Ramai orang telah mengadu kepada saya tentang kerugian yang dialami kerana mengikuti saranan atau buy call ini. Tetapi apakan daya, ramai juga pelabur yang masih tidak mengambil iktibar kerana mereka belum lagi mengalami kerugian seperti si pengadu. Mereka hanya akan sedar apabila mengalami kerugian dan kemudian barulah mereka akan meminta nasihat daripada saya.

Saya banyak menerima aduan melalui e-mel dan pesanan peri­badi Facebook yang menceritakan tentang kerugian dialami oleh pelabur yang telah mengikuti saranan atau buy call ini. Ada yang menyertakan kepada saya portfolio kerugian di atas kertas di mana kerugian tersebut bukannya sedikit. Ada yang mencecah sehingga angka RM10,000 untuk satu kaunter sahaja.

Untuk mengelakkan daripada terjebak dengan saranan atau buy call yang tidak menjadi, pelabur dan pedagang saham tiada pilihan lain melainkan mendapatkan ilmu yang betul.

Walaupun pelajaran tentang saham agak meluas, pelabur dan pedagang saham boleh belajar perlahan-lahan secara istiqomah. Panduan atau modul pembelajaran saham telah saya tulis di beberapa keluaran yang lepas.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan perisian carta untuk menyaring kaunter berpotensi naik menggunakan pendekatan analisis teknikal mahupun fundamental. Ba­nyak data yang boleh diperoleh daripada perisian ini termasuk penyaringan pantas (quick scan) saham berpotensi naik yang boleh diperoleh tidak sampai satu minit.

Untuk memudahkan penya­ringan kaunter berpotensi naik semasa pasaran saham diurus niagakan, pedagang saham ha­rian atau jangka masa singkat boleh membuat persediaan awal de­ngan membuat kerja rumah sewaktu pasaran tutup iaitu pada bila-bila masa selepas pukul 5 petang.

Dengan ini, anda mempu­nyai banyak masa dan sekiranya kajian mendapati saham pilihan anda itu mempunyai potensi naik pada keesokan hari atau di masa hadapan, anda boleh memasukkan pesanan beli sebelum pasaran dibuka keesokan hari kerana kebanyakan pelabur dan pedagang saham mula be­kerja sama waktu dengan waktu pasaran saham Bursa Malaysia.

Kita sambung topik ini di ming­gu hadapan.

Mereka yang ingin menghadiri Simposium Saham Utusan 2017 dan mendengar pe­nerangan tentang perisian carta untuk membuat kajian saham, sila daftar di pautan ini: http://bit.ly/simposiumsahamutusan2017