Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan telah mengenal pasti industri aeroangkasa sebagai antara subsektor pemangkin dalam kajian semula pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-11.

“Kita menyasarkan untuk menjadi negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara di samping menjadi sebahagian daripada pasaran global penting menjelang 2030.

“Usaha khusus sedang dilaksanakan merangkumi kemudahan industri, pembangunan rantaian bekalan tempatan, pembangunan kompetensi, penyelidikan dan teknologi serta kerjasama antarabangsa,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia 2019 di sini hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, tumpuan kepada sektor perkhidmatan adalah dalam bidang pelancongan, penjagaan kesihatan swasta dan perkhidmatan profesional, runcit serta makanan dan minuman.

“Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia 2020 dan kita mahu ia menjadi pemangkin dalam memacu industri pelancongan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, semasa khidmat pertamanya sebagai perdana menteri, beliau bukan hanya mahu memperolehi pelaburan dari Jepun melalui Dasar Pandang ke Timur malah ingin mempelajari etika kerja rakyat negara maju itu.

Etika kerja itu menurut beliau termasuk perasaan malu apabila gagal menyempurnakan tugasan, bekerja keras serta jujur, yang akan mendorong rakyat Malaysia melakukan yang terbaik.

Dr. Mahathir menegaskan, di samping pertumbuhan ekonomi dan institusi dititik beratkan manfaat kepada rakyat juga adalah sama penting.

“Kita tahu pembangunan negara bukan hanya mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau permodalan pasaran bagi pasaran saham, sebaliknya ia juga mengenai pembangunan taraf hidup yang lebih baik untuk semua pihak,” katanya. – BERNAMA