Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Hatten Land, Datuk Colin Tan June Teng berkata, taman tema dengan kos pembangunan sebanyak RM200 juta itu bakal dibina tingkat 14 pusat beli-belah, Harbour City, Pulau Melaka, di sini seterusnya menjadikan ia taman tema ‘tinggi’ pertama di dunia.

Menurutnya, taman tema air seluas 46,451.52 meter persegi itu dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun depan dan bakal dibuka kepada orang ramai pada suku pertama 2020.

“Apabila ia siap kelak, Splash World @ Harbour City ini akan menjadi taman teman terbesar di rantau ini dengan kemampuan menampung sehingga 5,200 pelawat setiap hari.

“Secara keseluruhannya, kita sasarkan taman tema ini mampu menarik sehingga 1 juta pelawat dalam setahun selepas 12 bulan beroperasi dan sekali gus mening­katkan jumlah pelancong dalam dan luar negara ke Melaka,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Menandatangani Kerjasama Splash World @ Harbour City di sini hari ini.

Majlis tersebut disaksikan Ketua Menteri, Adly Zahari dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis dan Pengerusi Hatten Group, Datuk Eric Tan Eng Huat.

June Teng mewakili Hatten Land manakala Samsung C&T Corporation diwakili Timbalan Presi­den Eksekutifnya, Tommy Byungsuk Jeong dan Polin Waterparks diwakili Pengarah Jualan Rantau Asia Tenggara, Emre Buyukgungor.

Menurut June Teng, Hatten Land merupakan pemaju projek tersebut dibantu oleh Samsung C&T Corporation dari Korea Selatan sebagai penasihat operasi serta Polin Waterparks dari Turki untuk mereka dan menghasilkan tarikan pada taman tema berkenaan.

“Apa yang menarik, taman tema ini menawarkan pengalaman teman tema air ‘indoor’ dan ‘outdoor’ dengan luncur air melebihi satu kilometer serta lebih 50 tarikan permainan termasuk 11 luncur air ekstrem, Sky Beach, taman mainan kanak-kanak, pertunjukan cahaya, sarkas air dan sebagainya,” tambah beliau.

Sementara itu, Adly menyam­but baik rancangan pembangu­nan itu yang dilihat mampu membantu melonjakkan lagi jumlah kedatangan pelancong serta mempelbagaikan daya tarikan baharu di Melaka.

“Sektor pelancongan adalah fokus utama Melaka malah membawa pendapatan sebanyak RM19.65 bilion hasil kehadiran 16.7 juta pelancong dari dalam dan luar negara tahun lalu.

“Justeru, kerajaan negeri akan memperkasakan lagi sektor ini dengan menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk melabur dalam membantu menggalakkan pelancongan di Melaka demi kebaikan ekonomi negeri dan rak­yat secara keseluruhannya,” ujar beliau.