Panel tersebut yang bermatlamat untuk menangani keperluan strategi modal insan yang dipertingkatkan dipengerusikan oleh ahli Lembaga Pemegang Amanah TalentCorp, Datuk Seri Idris Jala.

Menurut Idris, menggabungkan 10 pakar mewakili industri utama dan baharu muncul di Malaysia, Talent Compact 4.0 akan bertindak sebagai panel penasihat bebas untuk membantu dalam membangunkan Pelan Tindakan Masa Depan Pekerjaan Kebangsaan.

Katanya, Talent Compact 4.0 merupakan inisiatif tepat pada masanya, kerana tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan adalah penting bagi memastikan kejayaan Malaysia dalam menghadapi pasaran berdaya saing.

Jelas beliau, dengan gabungan kepakaran dan pengalaman panel tersebut, Talent Compact 4.0 mampu menyediakan panduan strategik yang diperlukan untuk membantu usaha mengendalikan agenda modal insan pada landasan sewajarnya.

“Revolusi Industri 4.0 seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin meningkat sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi sedang merangka semula kerja di seluruh sektor, geografi dan setiap peringkat dalam sesebuah organisasi.

“Talent Compact 4.0 akan memberi pandangan dan mencadangkan strategi yang diperlukan dan satu kajian akan dijalankan pada tahun depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Shareen Shariza Abdul Ghani.

Antara ahli panel Talent Compact 4.0 termasuk Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Dr. Rebecca Fatima Sta Maria dan Ketua Pegawai Eksekutif General Electric Malaysia, Datuk Mark Rozario.

Talent Compact 4.0 melengkapi inisiatif ‘National Leaders’ Circle’ yang diperkenalkan dalam Bajet 2018 untuk mewujudkan dan menyediakan saluran modal insan korporat.