Rangkaian yang betul

Pemilihan rangkaian media sosial yang sesuai amat pen­ting. Ia bergantung kepada siapa bakal pelanggan anda. Dengan melihat demografi dan kriteria bakal pelanggan anda dari segi umur, lokasi dan minat serta industri, anda akan sedar di mana mata mereka berada.

Status yang dimuat naik

Terdapat beberapa jenis status yang anda boleh muat naik. Pertama, status jalan mati. Ia ditulis pada platform media sosial dan tidak keluar ke tempat lain. Ia boleh ditulis tanpa gambar, bersama gambar ataupun bersama video yang dimuat naik.

Kedua, status ke laman web anda. Ia ditulis dan mempu­nyai pautan yang membolehkan pengunjung untuk klik dan keluar ke laman web anda. Ketiga, status ke laman web bukan milik anda. Ia ditulis dan mempunyai pautan yang membolehkan pengjunjung keluar ke laman web yang anda masukkan ke dalam status tadi. Dan keempat, status berbentuk CTA atau call-to-action. Status ini ditulis de­ngan memujuk mereka membeli dan bagaimana cara me­lakukan pembelian.

Call-to-Action

Ia adalah strategi untuk ‘menggalakkan’ mereka me­lakukan sesuatu setelah melihat status yang anda muat naik. Di media sosial, sebaik-baik call-to-action ialah dengan memujuk mereka menghubungi anda.

Jadi, anda perlu menyediakan butang Message sekiranya anda berada di platform Face­book. Di Instagram, Twitter dan LinkedIn pula tidak wujud butang ini, tetapi anda masih boleh menyalurkan mesej mereka ke laman Messenger pada Facebook Page anda me­lalui pautan yang disediakan oleh Facebook.

Terdapat juga fungsi Shop, iaitu anda boleh mewujudkan kedai maya anda sendiri seperti yang terdapat di Facebook. Para pengunjung anda boleh terus membeli di sini. Selain itu, anda juga boleh memuat naik status yang membawa para pengunjung ke laman kedai maya anda di tempat lain seperti Shopee, Lazada dan Lelong.

Interaksi

Jangan menjadi jenama yang membosankan. Memuat naik status sahaja 24 jam tidak akan membawa anda ke mana-mana. Seelok-eloknya, ceriakan ­aktiviti media sosial anda de­ngan berinteraksi dan berbual-bual secara aktif dengan para pengunjung yang meninggalkan komen mereka atau Like mereka di status anda.

Dengan interaksi aktif juga akan lebih mengeratkan hu­bungan mereka dengan anda. Ini akan mewujudkan rasa percaya yang lebih baik kepada jenama anda. Dan apabila mereka mula percaya kepada anda, hampir pasti mereka akan membeli daripada anda.

Temu bual

Status yang dimuat naik tidak perlu sentiasa satu hala. Sebaliknya, anda boleh membuat satu temu bual secara ­e-mel yang boleh dihantar kepada individu yang popular, selebriti, seseorang yang mampu memberi inspirasi kepada orang lain ataupun sesiapa sahaja yang sesuai.

Bayangkan apabila dimuat naik temu bual tadi di media sosial anda, individu yang ditemu bual tadi pasti akan berasa bangga kerana telah membantu menaikkan imej beliau. Secara automatik, status tadi akan juga dikongsi dan anda telah berjaya menembusi rakan-rakan media sosial kepada individu tadi.

Pendapat

Satu contoh yang baik ialah apabila anda ingin membuat logo baharu untuk syarikat anda. Cuba anda reka bentuk beberapa pilihan logo yang anda gemar dan cuba muat naik ke­semua reka bentuk tadi ke media sosial. Kemudian tanya kepada pengikut anda, yang mana satu sesuai untuk dijadikan logo rasmi syarikat anda.

Minta pendapat mereka. Hampir pasti ramai yang akan perasan dan ingin membantu anda membuat pilihan. Mereka pasti akan memberi komen dan ini akan membantu status tadi menjadi lebih tular.

Masa untuk menjawab

Apabila terdapat pertanyaan yang datang ke bahagian komen pada status yang dimuat naik ataupun pada kotak pesanan terus anda, jangan dibiarkan soalan itu terlalu lama tanpa jawapan. Orang pasti akan melihat jenama anda sebagai tidak serius.

Ingat, bila dah kaya nanti ja­ngan lupa kawan-kawan.