Chua Tee Yong
Chua Tee Yong

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, eksport mi­nyak kelapa sawit mi­salnya tidak terlepas cabaran ber­ikutan cadangan sekatan ke atas minyak tersebut oleh Kesatuan Eropah (EU) dan terbaru, peningkatan duti import ke atas minyak sawit oleh India.

Katanya, kerajaan akan terus mengikuti perkembangan ini seterusnya percaya akan ada kesan, bagaimanapun harga mi­nyak sawit masih mampan ketika ini.

“Kami berasa lega kerana China masih mahu mengimport dan telah menyatakan bahawa mereka tidak akan mengenakan sebarang kuota untuk pengimportan komoditi itu.

“Perdagangan pada Januari tahun ini juga, agak menggalakkan dengan eksport negara mencecah RM82 bilion iaitu angka tertinggi bagi Januari secara keseluruhan berbanding sebelumnya,” ka­ta­­nya kepada pemberita pada sesi pertemuan agensi-agensi di bawah MITI dengan sektor swasta sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Sementara itu, Ahmad Maslan menggesa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus memanfaatkan dana yang diperuntukkan dalam belanjawan 2018 berjumlah RM22.2 bilion bagi mengembangkan perniagaan mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.

Jelas beliau, peruntukan belanjawan itu adalah yang terbesar dalam sejarah serta disalurkan dalam bentuk geran, pembiayaan dan pinjaman.

“Tahun ini diharapkan akan menjadi tahun yang akan membuka peluang yang meluas bagi usahawan PKS yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.