Portfolio Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) pula meningkat sebanyak RM13.4 bilion atau 13.2 peratus kepada kedudukan tertinggi dalam sejarah iaitu RM115.6 bilion pada tahun lalu berbanding RM102.1 bilion tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dalam hal ini berkata, peningkatan NWA mewakili pertumbuhan jangka panjang 3.5 kali ganda peningkatan dalam nilai portfolio sejak 2004 yang telah dihasilkan menerusi portfolio perlindungan aset yang terpelihara seba­nyak 3.1 kali ganda.

“Tahun lalu adalah tahun yang terbaik untuk kami. Pada tahun ini juga pengukuhan mata wang dan juga pasaran saham akan membantu pertumbuhan.

“Itupun jika tidak berlaku sebarang perubahan yang tidak dapat dielakkan se­perti geopolitik global,” kata beliau dalam sidang akhbar Ulasan Tahunan Khazanah Ke-14 (KAR 2018) di sini hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Pengarah Uru­san Khazanah, Ahmad Zulqarnain Onn dan Datuk Seri Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz; Ketua Pegawai Kewangan, Faridah Bakar Ali dan Ketua Pejabat Pengarah Urusan, Jiv Sammanthan.

Azman berkata, syarikat portfolio teras telah memberi sumba­ngan yang penting dengan CIMB menjadi penyumbang terbesar.

Malah Telekom, Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Axiata turut memberi sumbangan yang signifikan, katanya.

Beliau juga memberitahu, Kha­zanah terus membuat pelaburan baharu dalam syarikat-syarikat yang mencatatkan pertumbuhan seperti sektor inovasi dan teknologi serta pada masa yang sama meraih nilai melalui pelupusan strategik.

“Pelaburan baharu yang dilaksanakan termasuklah dalam edotco Group Sdn. Bhd., Sigfox dan Koubei, sebuah syarikat gabungan Alibaba.

“Manakala pelupusan pula termasuklah VeloCloud Network Inc, Tech Mahindra dan China Huarong Asset Management Co. Ltd.,” kata beliau.

Mengulas mengenai Malaysia Airline (MAS) beliau berkata, pelan transformasi lima tahun masih kekal dan percaya syarikat penerbangan negara itu akan kembali untung pada hujung tahun ini atau setengah tahun pertama 2019.