Teresa Kok
Teresa Kok 

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, gesaan itu dibuat memandangkan jumlah stok minyak sawit Malaysia bagi November meningkat 10.45 peratus kepada 3.01 juta tan daripada 2.72 juta tan pada Oktober.

"Saya meminta syarikat minyak sawit menggunakan bekalan keluaran negara dalam usaha membantu pekebun tempatan yang sedang menderita. Jumlah stok minyak sawit Malaysia agak tinggi.

"Kita juga mendapati ada dalam kalangan syarikat kita mengimport minyak sawit dari negara jiran. Jadi pada masa yang kritikal ini, kita mahu menggesa mereka supaya tidak lagi mengimport minyak sawit untuk diproses di kilang penapisan sebaliknya mereka menggunakan minyak tempatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa pelancaran pelaksanaan Program B10 Sektor Pengangkutan di Dataran Putra, di sini hari ini.

Teresa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia bagi November 2018 yang dikeluarkan semalam berhubung pertambahan stok minyak sawit pada November.

Bagaimanapun, Teresa berkata, pihaknya tidak memberi sebarang tempoh tertentu kepada syarikat terlibat untuk melaksanakan pemberhentian import berkenaan.

"Kita perlu membantu pekebun kecil dan jika kita boleh mempertingkat penggunaan minyak sawit dalam negara maka kita boleh menstabilkan atau menambah harganya agar dapat memberi manfaat kepada pekebun tempatan," katanya.-Bernama