Beliau berkata pendekatan “mentor-mentee” sebegini amat berkesan kerana lebih daripada 90% syarikat dalam industri kimia adalah PKS manakala industri tersebut terus menjadi penyumbang utama eksport hasil pembuatan sebanyak 6.9% pada tahun 2018.

“Walaupun bahan kimia penting dalam kehidupan seharian, penggunaan dan pengendalian yang selamat dan bertanggungjawab adalah penting bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan bersih untuk orang ramai.

“Sebagai pemain utama dalam keseluruhan rantaian, syarikat-syarikat kimia mesti mengatur dan memainkan peranan dengan lebih berkesan untuk memastikan keselamatan tempat kerja, kesihatan pekerja dan masyarakat sekitar,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Industri Kimia 2019 malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM), Datuk Dr Abd Hapiz Abdullah.

Dengan munculnya “budaya korporat hijau”, Lee berkata terdapat keperluan bagi syarikat untuk lebih memberi penekanan terhadap isu-isu alam sekitar dan menyedari bahawa mereka boleh menikmati lebih banyak manafaat dengan memelihara alam sekitar.

Beliau berkata tragedi Sungai Kim Kim baru-baru ini membuktikan bahawa jika pihak industri tidak menjaga alam sekitar, kemusnahan akan menjadi lebih besar pada masa akan datang.

Beliau turut memuji usaha CICM menjadikan industri kimia lebih selamat kerana inisiatif sedemikian akan memberi gambaran yang baik kepada imej negara.

“Rekod keselamatan yang baik bukan sahaja akan memastikan pemegang lesen dapat terus beroperasi, tetapi ia juga akan menyumbang kepada produktiviti perniagaan dan menjadikan industri kimia Malaysia lebih bertanggungjawab dan mampan,” katanya.


Lee menyampaikan anugerah utama Kepimpinan Penjagaan Bertanggungjawab 2017/2018 kepada pegawai operasi eksekutif IOI Pan-Century Oleochemicals Sdn Bhd Gurdev Singh sambil diperhatikan oleh Pengerusi Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM), Datuk Dr Abd Hapiz Abdullah.

Di peringkat global, beliau berkata sudah ada inisiatif penjagaan secara bertanggungjawab oleh industri kimia, yang turut diterima pakai oleh Malaysia sejak tahun 1994.

“CICM menjadi peneraju utama syarikat-syarikat kimia di Malaysia untuk memberikan komitmen mereka terhadap Prinsip Panduan dan melaksanakan Kod Amalan Pengurusan, yang tidak terhad hanya kepada pematuhan perundangan dan pengawalseliaan,” katanya.

Penjagaan Bertanggungjawab adalah etika dan komitmen industri kimia untuk membina keyakinan dan kepercayaan di peringkat global.

Lee berkata industri kimia memainkan peranan penting sebagai pembekal bahan mentah dan berfungsi sebagai asas pembuatan barangan siap serta sektor ekonomi lain seperti pertanian dan pembinaan.

Ia juga menyediakan peluang untuk industri sokongan berkembang, seperti logistik, pengangkutan dan pengedaran serta pergudangan.

Dilaporkan pelaburan yang diluluskan untuk produk kimia, bahan kimia dan produk petroleum berjumlah RM20.8 bilion pada tahun 2017 dan RM 37.9 bilion pada tahun 2018.

Pada majlis tersebut Lee turut menyampaikan anugerah untuk syarikat dan individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek HSE termasuk pegawai operasi eksekutif IOI Pan-Century Oleochemicals Sdn Bhd Gurdev Singh yang memenangi anugerah utama Kepimpinan Penjagaan Bertanggungjawab 2017/2018.- UTUSAN ONLINE