Meskipun BNM tidak mengalami sebarang kerugian berhubung insiden itu, cubaan itu merupakan ancaman siber kali kedua terhadap bank pusat selepas kejadian rompakan sebanyak AS$81 juta (RM313 juta) dari Bank Negara Bangladesh.

Rompakan di Bangladesh menerusi permintaan palsu pemindahan SWIFT, menyaksikan institusi kewangan di seluruh dunia bertindak meningkatkan kawalan keselamatan masing-masing. Sehingga kini, pihak berkuasa masih belum dapat menahan dalang di sebalik serangan itu.

Mengulas tentang itu, Timbalan Gabenor Bank Bangladesh, Abu Hena Mohd Razee Hassan berkata, selepas insiden serang­an ke atas bank pusat mereka, SWIFT telah mengambil beberapa tindakan untuk melindungi sistem di seluruh dunia.

“Walau bagaimanapun, aktiviti menggodam masih berlaku dan ini bermakna penjenayah siber itu semakin berkemampuan dan mempunyai strategi atau muslihat lebih licik.

“Sehubungan itu, kini adalah masa untuk terus menambah baik sistem pemindahan wang secara global,” katanya kepada Reuters di sini hari ini.

SWIFT mengendalikan sistem pesanan antara bank yang digunakan untuk menjalankan akti­viti pindahan wang.

Persatuan berkenaan sebelum ini memberitahu bahawa rangkaian pusatnya tidak pernah digodam, tetapi terminal beberapa bank yang digunakan untuk mengakses rangkaian itu terjejas sejak beberapa tahun lalu.

Menurut SWIFT yang berpangkalan di Brussels, rompakan digital pada akhir tahun lalu menjadi tumpuan kerana penggodam menggunakan peralatan dan teknik canggih untuk melancarkan serangan baharu.

SWIFT enggan mendedahkan jumlah serangan atau mengulas mengenai kes yang diketahui ramai, termasuk serangan ke atas Bank Antarabangsa Far Eastern di Taiwan dan Bank Asia NIC di Nepal.

Sementara itu, Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia, Goh Chee Hoh berkata, insiden ke­selamatan siber itu memberi amaran kepada institusi kewa­ngan untuk terus berjaga-jaga dan me­mastikan sistem keselamatan mereka dikemas kini.

Kini, semakin banyak syarikat memperluaskan ketersambung­an rangkaian mereka justeru organisasi perlu mengukuhkan keselamatan siber mereka untuk melindungi daripada sebarang serangan siber dan aktiviti penipuan,” katanya.