Demikian yang dinyatakan wakil kepada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Dr. Mohd. Sultan Fuadjar yang mana penternakan madu kelulut merupakan aktiviti berpotensi yang mampu memberi pulangan yang lumayan sekiranya ia dijalankan secara sistematik.

“Melihat potensi yang boleh mendatangkan hasil dan pendapatan sampingan yang lumayan, maka para penduduk di Sungai Air Tawar ini boleh mengubah corak ekonomi di kawasan ini kepada agro-pelancongan melalui aktiviti penghasilan madu kelulut.

“Mungkin selepas ini kawasan Sungai Air Tawar dikenali sebagai pusat pengeluaran madu kelulut dengan penglibatan secara besar-besaran daripada masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kursus Penternakan Madu Kelulut anjuran Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) di sini semalam.

Pada masa sama, Mohd. Sultan turut menyifatkan usaha KKSB mengadakan kursus tersebut selama dua hari itu merupakan langkah positif bagi mendedahkan para peserta aktiviti itu mengenai teknik penternakan lebah dan pengendalian penghasilan madu kelulut.

Sementara itu, Pengarah KKSB, Mohd. Yusof Paal berkata, kursus itu dilaksanakan dalam dua sesi iaitu teori dan latihan praktikal bagi meningkatkan kefahaman pada peserta.

“Semua peserta kursus diberi peluang untuk merasai sediri bagaimana cara membuat log rumah kelulut, ‘topping’ log kelulut, kaedah mengutip madu dan perkongsian pengalaman dengan penternak lawatan ke ladang kelompok di kampung tersebut.

“Selain itu, peserta juga berpeluang mendapat pembiayaan yang boleh perolehi dari Agro Bank melalui sesi taklimat daripada pegawai bank berkenaan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE