Datuk Johannis Al-Arif Ibrahim berkata, permintaan terhadap produk susu segar di Malaysia masih tinggi biarpun masyarakat hari ini terdedah dengan pelbagai pilihan diet.

Katanya, di awal permulaan perniagaannya, HADC hanya mengeluarkan 300 liter susu sehari dan kini jumlahnya mening­kat kepada sembilan tan sehari selepas empat tahun.

Beliau berkata, apa yang membezakan Summerfield de­ngan jenama susu lain adalah ia menggunakan sistem teknologi air ozon yang diimport dari Eropah untuk mensteril botol-botol yang digunakan.

“Kaedah ini berbeza berbanding pemain industri yang lain. Kebanyakan pengeluar mensteril pembungkusan de­ngan menggunakan hidrogen peroksida (cecair peluntur) dan perlu memastikan sisa kimia di bawah tahap minimum yang ditetapkan.

“Sebagai pengeluar yang bertanggungjawab, kami mahukan setiap susu keluaran HADC mencapai tahap stan­dard kualiti yang ditetapkan serta bebas daripada sisa antibiotik.

“Kami juga ingin memastikan para pengguna tidak perlu risau tentang sisa kimia yang terdapat pada susu kami kerana kami tidak menggunakan sebarang bahan kimia bagi mensteril botol-botol tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di Se­rendah, dekat sini baru-baru ini.

Beliau berkata, sehingga kini HADC telah melabur lebih RM15 juta bagi mengguna pakai teknologi berkenaan dan ia merupakan yang pertama di Asia Tenggara.

Johannis berkata, produk susu Summerfield melalui pro­ses pasturasi tinggi (high pasteurisation) bagi memberikan jangka hayat produk selama 21 hari.

Ia dimasak pada suhu me­lebihi 73 darjah celsius selama kira-kira 15 saat dan perlu di­simpan dalam suhu di antara 0 hingga empat darjah celsius.

“Ini adalah bagi mengekalkan kandungan nutrisi yang terkandung dalam susu secara optimum. Antara kebaikan susu Summerfield termasuklah ia diperbuat daripada susu segar, tiada bahan pengawet dan tiada atau rendah kandungan gula,” katanya.

Setakat ini Summerfield mempunyai 13 jenis susu antaranya susu segar, susu segar rendah lemak, susu kurma, Cafe Latte, coklat, coklat karamel dan Strawberi.

Beliau berkata, HADC turut merancang untuk memper­kenalkan rangkaian yogurt di bawah jenama sama pada suku pertama 2019.

Dalam pada itu beliau turut mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menyertai Program Usahawan Muda Summerfield 2019 yang akan dimulakan pada pertengahan bulan Mac 2019.

Katanya, menerusi program itu, syarikat berhasrat melantik 30 stokis baharu yang terdiri daripada usahawan muda berumur di antara 21 hingga 45 tahun di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Mereka yang berminat boleh memohon melalui laman media sosial syarikat di Facebook atau Instagram atau e-mel terus ke [email protected],” katanya.