Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, sejak 2010, Bank Islam telah menghulurkan lebih RM2.9 juta zakat kepada Kedah sekali gus menjadikan jumlah terkumpul sumbangan zakat Bank Islam kepada negeri tersebut mencecah RM3.4 juta.

Beliau berkata, selain penyerahan zakat perniagaan, Bank Islam turut menyerahkan bantuan berbentuk alatan perniagaan berjumlah RM70,000 kepada 56 orang Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) terdiri daripada usahawan wanita asnaf terpilih yang berdaftar di bawah AIM.

“Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat Bank Islam melalui program AMAL Musa’adah Bank Islam yang diperkenalkan pada 2017. Melalui program ini, Bank Islam memberi tumpuan khusus kepada usahawan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

“Bank Islam bekerjasama dengan AIM bagi menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan pembiayaan, pendidikan dan latihan untuk masyarakat yang kurang mendapat perhatian dan berpendapatan rendah sebagai sebahagian daripada inisiatif membasmi kemiskinan dan memupuk potensi keusahawanan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakat perniagaan tersebut diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Syeikh Zakaria Othman.