Enam bulan kemudian, kerajaan yang baharu mentadbir negara membentangkan Belanjawan 2019 yang menyaksikan pelaksanakan subsidi minyak secara bersasar, dijangka dilaksanakan suku kedua tahun hadapan.

Bagaimanapun, kali ini ia tidak lagi disambut dengan gelak tawa gembira tetapi de­ngan pelbagai sindiran di media sosial yang rata-ratanya masih tertanya-tanya apakah meka­nisme yang akan dilaksanakan kerajaan.

Malah, ada yang mempersendakan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pemilik kereta mewah atau enjin melebihi 1,500 cc tidak akan menikmati subsidi ini, yang mungkin pengguna Mercedes lebih layak berbanding Proton.

Tanpa beliau sedar, kebanyakan golongan B40 dan mungkin juga M40 memandu Proton, dengan kapasiti enjinnya 1,600cc adalah mereka yang memerlukan subsidi tetapi jatuh dalam kategori tidak layak.

Berdasarkan data MIDF Research, hanya tiga sahaja model Proton yang mempunyai enjin 1,500cc iaitu Iriz, Saga dan Ertiga manakala Perodua pula melibatkan empat model iaitu Axia, Myvi, Bezza dan Alza.

Bagi model Honda pula, lima kenderaannya mempunyai enjin 1,500cc iaitu Jazz, City, Civic, BRV dan CRV. Toyota pula empat model iaitu Vios, Sienta, Avanza, Rush dan Yaris. Nissan dan Mazda masing-masing mempunyai satu model iaitu Almera dan Mazda 2.

Jenama kereta Eropah, se­perti Mercedes dan BMW pula hanya mempunyai beberapa model kurang daripada 1,500 cc manakala Audi pula menawarkan model A4 dan A3 dalam kate­gori tersebut.

#Siapa yang layak?

Soalnya, siapa yang layak menikmati subsidi ini? Dalam masa sama, ia juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna motosikal. Malah, terdapat cadangan supaya kapasiti enjin diperluaskan antara julat 100 cc hingga 250 cc.

Ada juga beberapa cadangan sebelum ini, misalnya menggunakan data Jabatan Peng­angkutan Jalan dan juga kad pengena­lan pengguna untuk memastikan hanya mereka yang la­yak sahaja menikmati subsidi ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah berhasrat melaksanakan langkah ini dengan menggunakan kad pengenalan. Projek perintis pertama dibuat pada 2008 di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi tidak berjaya.

Adakah pemilik jenama mewah seperti 1.3L Mercedes-Benz A 200 dan 1.5L C200, 1.4L Audi A3 dan A4, 1.5L Mini Cooper Clubman dan Countryman, 1.4L Volkswagen Tiguan, 1.5 BMW 118i dan 1.5L 318i lebih layak berbanding pengguna 1.6L Preve, 1.6L Suprima dan 1.8L X70?

Adalah membimbangkan se­kiranya, subsidi ini disalah guna oleh mereka yang berpendapatan tinggi kerana pelaksanaannya hanya mengambil kira kapasiti enjin kereta semata-mata. Persoalan juga timbul, bagaimana kerajaan boleh membendung aktiviti penyeludupan minyak daripada berleluasa.

Tetapi dalam hal ini, kerajaan telah mengeluarkan kenya­taan bahawa pemilik 1,500 cc dan motosikal 125 cc perlu memenuhi beberapa kriteria untuk mendapatkan subsidi RON95 sebanyak 30 sen seliter. Ini terma­suk usia dan kuasa kuda kenderaan serta pendapatan pemilik.

#Hasil minyak

Selain melaksanakan subsidi minyak, kerajaan juga akan mengapungkan semula harga RON95 di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) bagi membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Hasil cukai petroleum pula dijangka lebih baik pada tahun hadapan disebabkan peningkatan harga minyak global. Kerajaan mengunjurkan cukai petroleum akan berkembang 7.4 peratus dengan mengambil kira harga minyak AS$70 (RM291.15) setong.

Peningkatan harga mi­nyak akan melonjakkan aktiviti eko­nomi negara menerusi output, hasil cukai, pekerjaan dan pendapatan. Seperti menurut Kementerian Kewangan, setiap peningkatan AS$1 (RM4.16) dalam purata harga minyak akan meningkatkan RM300 juta pendapatan kerajaan.

#Harapan

Rakyat menaruh harapan yang tinggi untuk melihat masalah kos sara hidup dapat ditangani dengan efisien walaupun secara berperingkat-peringkat.

Oleh itu, kerajaan Pakatan Harapan memikul satu tanggungjawab yang berat untuk mewujudkan mekanisme subsidi minyak yang komprehensif, yang dilihat sebagai sebahagian daripada langkah membantu golongan B40 setelah Barisan Nasional gagal melaksanakannya walaupun 61 tahun diberi kuasa memerintah.

Bagaimanapun, jika ia gagal dilaksanakan, janganlah pula meletakkan beban itu disebabkan hutang kerajaan yang tinggi, mahupun hutang 1MDB.