Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pengumuman berkenaan dijangka dibuat dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Ia hanya bagi golongan benar-benar miskin, untuk seramai 179,000 individu yang berdaftar dengan Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih),” ujarnya.

Tambah beliau, kementerian akan membentangkan Rang Undang-undang Pemuliharaan Kecekapan Tenaga di Parlimen menjelang pertengahan tahun depan.

“Sementara itu, Pelan Tindakan Cekap Tenaga pula dijangka diumumkan pada Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyam­paikan ucaptama perasmian Per­sida­ngan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 kali ke-22 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis; Pengerusi Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Tan Sri Leo Moggie serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat utiliti itu, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.

CEPSI 2018 anjuran TNB bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) itu menjadi persidangan utiliti tenaga terbesar pernah diadakan di negara ini.

TNB menjangkakan seramai 2,000 delegasi dari dalam dan luar negara dengan kira-kira 4,500 pe­lawat meluangkan masa di persidangan yang berlangsung hingga Khamis ini.

Yeo berkata, kerajaan juga sedang merangka program Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0 dalam usaha memperbaharui industri bekalan elektrik negara bagi menghadapi perubahan di peringkat global.

Objektifnya termasuklah me­ningkatkan kecekapan industri, mengukuhkan industri, struktur, peraturan dan proses utama serta memperkasakan pengguna.

Katanya, kementerian akan mengaktifkan semula Pejabat Program Malaysia Bagi Pembaharuan Tenaga Elektrik (MyPower) untuk mereka bentuk dan memacu pelaksanaan inisiatif pembaharuan itu.

“MyPower akan menjadi sebuah syarikat bebas dan terhad dengan jaminan kementerian dan ia akan ditutup dalam masa 36 bulan selepas tamatnya MESI 2.0.

“Dengan pembaharuan ini, industri bekalan elektrik negara dijangka menjadi lebih cekap, te­lus, berasaskan pasaran, berdaya saing, mapan dan bersedia untuk menuju ke arah tenaga boleh diperbaharui,” katanya.