#Media sosial

Mungkin laman web anda masih lagi dalam pembinaan, ataupun anda tiada peruntukan untuk membina laman web sendiri. Tidak mengapa, anda boleh mulakan dengan media sosial dahulu. Dengan penggunaan media sosial, anda mungkin tidak boleh menarik orang yang tidak mengenali jenama anda untuk datang mengenali anda seperti fungsi laman web. Tetapi anda boleh fokus kepada rakan-rakan yang mengenali anda dan juga menarik rakan-rakan kepada rakan-rakan yang sedia ada untuk mengenali anda.

#Fokus kepada satu saluran sahaja dahulu

Jika pelanggan anda merupakan perniagaan, maka saya ingin sarankan agar anda fokus kepada LinkedIn dahulu. Tetapi kalau sasaran pelanggan anda adalah individu, maka Facebook adalah pilihan yang baik.

#Profil jenama anda yang jelas dan ringkas

Bagaimana untuk menulis profil atau latar belakang jenama anda yang mudah difahami? Mudah sahaja. Anda perlu menulis tentang jenama anda dari perspektif pelanggan anda. Tulis tentang apa yang mereka bakal peroleh dari jenama anda, produk anda dan perkhidmatan yang anda sediakan. Tolong hindarkan daripada menulis tentang fungsi atau apa jua perkara-perkara teknikal tentang produk yang anda seorang sahaja yang faham. Jangan dedahkan terlalu ba­nyak maklumat tentang jenama anda. Cukup sekadar sederhana sahaja.

#Alamat pejabat yang sesuai

Kalau boleh, guna alamat pejabat di tempat yang terke­nal. Pejabat maya pun tidak mengapa, janji bangunan dan lokasi tempat tersebut dikenali ramai. Ini secara tidak langsung menunjukkan yang jenama anda bukan calang-calang walaupun pada hakikatnya anda seorang sahaja di dalamnya.

#CTA

Call-To-Action atau dalam bermaksud `mengajak pelanggan untuk beri maklum balas’. Di Facebook, anda boleh membuat tetapan pada butang CTA yang disediakan. Sebaiknya letakkan pilihan Mesej di butang tersebut. Pengunjung akan sedar bahawa anda sentiasa bersedia untuk menjawab apa jua persoalan yang timbul sekiranya ada. Di LinkedIn pula, memandangkan tiada butang disediakan, anda boleh menggunakan pautan Facebook untuk membawa bakal pelanggan dari LinkedIn ke Facebook anda.

#Logo dan imej banner yang sesuai

Logo perlu ringkas dan mudah untuk diingati. Imej banner pula ialah imej yang terdapat pada bahagian atas sekali Facebook dan LinkedIn, dan ia perlu beresolusi tinggi. Imej banner perlu mempunyai mesej yang sesuai untuk disampaikan kepada pengunjung dalam bentuk visual. Sekiranya perlu, ma­sukkan sedikit ayat yang sesuai agar mudah difahami pengunjung.

#Dapatkan Like yang sepatutnya

Untuk permulaan, anda perlu berhati-hati dalam mendapatkan pengikut Facebook Page anda. Jangan sesekali mengajak sesiapa sahaja untuk Like dan menjadi pengikut anda. Pada peringkat ini, anda perlu mengajak jenis individu yang berpotensi untuk menjadi pembeli produk anda. Ajak seberapa ramai jenis individu-individu begini.

#Petua ringkas bergambar

Tiada siapa pun yang mahu dijual apa jua produk pun. Apabila pengunjung melihat sahaja status-status anda yang kese­muanya berbentuk katalog, mereka akan lari. Hampir pasti mereka akan lari jauh daripada anda. Jangan biarkan ini berlaku, jadi letakkan petua-petua ringkas yang bergambar tentang sesuatu yang pembaca akan mendapat manfaat dari petua tadi. Pastikan petua-petua yang anda kongsikan itu tidak diplagiat daripada mana-mana sumber lain, bersih daripada kesalahan tatabahasa dan ejaan, dan juga selari dengan jenis produk yang anda jual. Taktik ini dinamakan menjual dengan cara tidak menjual.

#Status yang menjual

Anda perlu juga menjual, cuma jangan terlalu melebih-le­bih. Seelok-eloknya dalam 7-8 status yang berbentuk petua ringkas bergambar yang tidak menjual tadi, perlu ada satu status yang menjual. Reka bentuk satu poster mudah, dan muat naik status ini ke media sosial anda.

#Iklan

Apabila ‘bermain’ di media sosial, anda perlu membuat pelaburan iklan berbayar. Berapa banyak? Di Facebook, mereka mempunyai kadar yang paling murah iaitu RM4 sehari minimum. LinkedIn pula RM45-48 sehari. Bagaimana untuk menggunakan iklan berbayar ini dan mendapatkan impak terbaik?

Senang sahaja, anda cuma perlu iklan pada status yang menjual tadi. Fokus kepada status jenis ini sahaja dan bukannya status petua ringkas bergambar tadi. Pada iklan yang akan dijalan itu, pastikan anda memilih Friends and their Friends pada tetapan yang disediakan.

Anda tunggu hasilnya nanti.