Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata stok minyak sawit mentah (MSM) merosot sebanyak 10.63 peratus kepada 783,844 tan pada Januari berbanding 877,082 pada bulan sebelumnya.

Katanya stok minyak sawit diproses turun sebanyak 4.13 peratus kepada 756,988 tan pada Januari berbanding 788,741 tan pada Disember tahun lepas.

Mengenai pengeluaran, MPOB berkata, pengeluaran MSM pada Januari merosot kepada 1.28 juta tan daripada 1.47 juta tan pada Disember.

Pengeluaran isirong sawit susut kepada 310,224 tan pada Januari berbanding 346,520 tan pada bulan sebelumnya.

Mengenai eksport, katanya permintaan biodiesel pada Januari melonjak kepada 401 tan berbanding 55 tan pada Disember, manakala minyak sawit naik kepada 1.28 juta tan berbanding 1.27 juta tan pada Disember.

MPOB berkata eksport minyak isirong sawit susut kepada 64,631 tan daripada 79,209 tan pada Disember.

Eksport dedak isirong sawit merosot kepada 187,017 tan pada Januari daripada 195,855 tan pada Disember, manakala oleokimia turun kepada 211,293 tan daripada 224,283 tan. - BERNAMA