Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050. Di bawah inisiatif itu, Malaysia me­nyasarkan untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, ke­sejahteraan rakyat dan inovasi.

Laporan portal perniagaan itu yang memetik ucapan seorang ahli panel di dalam sebuah forum mengenai populasi Malaysia pada 2050 dan kesannya dari segi sosio-ekonomi menyatakan, isu besar yang akan dihadapi negara pada waktu tersebut ialah pertambahan warga emas, kemiskinan, penyakit dan kurangnya ge­nerasi muda.

Malah seorang lagi ahli panel menjangkakan Malaysia akan menjadi negara tua menjelang tahun 2035, dengan lebih 15 peratus penduduk berusia 65 tahun dan ke atas, berbanding sekitar lapan peratus ketika ini.

Jelasnya, Malaysia hanya mengambil masa selama 25 tahun untuk menjadi negara tua, antara terpantas di dunia, berbanding negara-negara lain hatta negara maju seperti Perancis yang mengambil masa 115 tahun, Amerika Syarikat (70 tahun), United Kingdom (45 tahun).

Menurut Jabatan Perangkaan, purata jangka hayat rakyat Malaysia bagi lelaki pada tahun lalu ialah 72.6 (berbanding 72.4 pada 2015) dan wanita pula 77.2 (daripada 77.1 pada 2015). Perangkaan juga menunjukkan pada tahun 2040 penduduk Malaysia diunjur berjumlah 41.5 juta dengan 18.6 peratus berumur 14 tahun ke bawah, 66.9 peratus (15-64) dan 14.5 peratus (65 tahun ke bawah). Sebagai perbandingan, pada 2010 penduduk Malaysia berjumlah 28.6 juta dengan 27.4 peratus 14 tahun ke bawah, 67.6 peratus (15-64) dan lima peratus (65 ke atas).

Apa yang menjadi kebimbangan ialah implikasi yang akan dihadapi oleh negara de­ngan fenomena tersebut sekiranya tiada sebarang langkah diambil oleh pihak berkenaan.

Antaranya, masih ramai warga emas yang terpaksa bekerja bagi menyara kehidupan, mi­salnya satu daripada tiga lelaki berusia antara 65 dan 69 tahun masih bekerja, sementara bagi yang berusia lebih 70 tahun, satu daripada lima masih bekerja. Keadaan itu dijangka terus meningkat mengambil kira jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin bertambah.

Jumlah tenaga muda negara berusia 18 tahun ke bawah pula dilaporkan semakin menurun pada 2050 iaitu sekitar 8.344 juta daripada 9.056 juta ketika ini.

Sekiranya senario itu berlaku, Malaysia mungkin akan terus bergantung kepada tenaga kerja asing untuk memacu pembangunan negara bagi mencapai impian di bawah TN50.

Penggantungan berterusan negara kepada pekerja asing akan menyaksikan pertambahan aliran keluar wang yang dihantar pulang oleh pekerja-pekerja asing ini. Mengikut laporan, pada tahun 2015, pekerja asing menghantar pulang hampir RM40 bilion dan angka itu bertambah setiap tahun seiring dengan peningkatan upah dan jumlah pekerja asing dalam pelbagai sektor di negara ini.

Lima Lonjakan Transformasi Pekerja yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri pada sambutan Hari Pekerja Mei lalu demi membawa Malaysia memasuki gelanggang ekonomi maju berpendapatan tinggi, mungkin bakal menjadi lipatan sejarah.

Kemiskinan dan penyakit pula bakal mengakibatkan ke­rajaan berbelanja lebih besar untuk mengatasinya, membabitkan pembinaan lebih ba­nyak hospital dan bantuan sara hidup. Mengikut maklumat da­lam laman web Kementerian Kewangan, kerajaan memperuntukkan RM85,976 juta di bawah sektor sosial dalam Bajet 2017.

Peruntukan itu termasuk kesihatan dan kependudukan sebanyak RM23,700 juta, perkhidmatan kebajikan dan masyarakat (RM4,358 juta) serta pembangunan kampung dan masyarakat (RM237 juta).

Angka-angka di atas pasti akan bertambah pada tahun-tahun mendatang sekiranya apa yang dibangkitkan oleh kedua-dua ahli panel berkenaan berlaku dan tiada pula sebarang usaha diambil dari sekarang untuk mendepani senario tersebut.