Pengarah Urusannya, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, dalam tempoh tiga bulan ‘cuti cukai’ mulai 1 Jun lalu, pertumbuhan jualan meningkat antara 20 hingga 30 peratus berban­ding lima peratus pada separuh pertama 2018 dan berharap pe­ningkatan jualan ini akan berte­rusan sehingga hujung tahun ini.

Katanya, keadaan itu dido­rong oleh trend pembelian da­lam kalangan generasi muda daripada pelbagai platform ter­masuk laman web membeli-belah dan televisyen.

“Kami juga mendapati tanpa GST juga, pembelian emas menjadi lebih mudah kepada pelancong asing dan ini menjadikan jualan kami semakin meningkat.

“Apabila kadar sifar GST di­umumkan iaitu dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, ia me­nunjukkan peningkatan jualan yang cukup ketara dan kami sangat gembira apabila barang kemas kecualikan daripada SST apabila cukai ini dilaksanakan 1 September ini

“Berbanding dalam tempoh sama tahun lalu, Habib hanya mencatat pertumbuhan jualan sekitar tiga hingga empat peratus kesan daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus,” katanya dalam sidang akhbar sempena promosi Bazar Merdeka di sini hari ini.

Pada Jun lalu, Habib me­minta supaya kerajaan tidak mengenakan SST terhadap industri barang kemas sebagaimana yang diamalkan sebelum GST dikuatkuasakan pada 1 April 2015 kera­na ia akan memberi kesan yang tidak baik terhadap perniagaan barang kemas.

Data daripada Perbadanan Pem­­bangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) me­nunjukkan eksport barang kemas merosot sebanyak 20 peratus dari tahun 2015 hingga 2016 selepas pelaksanaan GST.

Ketika GST dilaksanakan, semua barang kemas dikenakan cukai tersebut kecuali jongkong emas.

Menurut Meer Sadik, walaupun dikecualikan daripada SST, harga emas tetap dipengaruhi oleh pasaran global dan juga kadar tukaran mata wang asing.

“Ketika ini, harga emas ialah AS$1,202 per aun (RM4,936.85) dan pada masa kadar GST tiga bulan lalu, harga emas ialah AS$1,300 per aun (RM5,339.36), yang menyaksikan penuru­nan sebanyak AS$100 per aun (RM410.72),” katanya.

Ditanya mengenai unjuran harga emas menjelang hujung tahun ini, beliau berkata, kea­daan tersebut banyak bergantung kepada pasaran global, apatah lagi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan kadar faedah yang menjadikan dolar AS lebih kukuh.

“Dalam masa sama, apabila ada ketidaktentuan di Turki yang menyebabkan kejatuhan mata wang lira, harga emas kembali pulih. Tetapi, dalam tempoh jangka masa panjang, kita boleh melihat harga emas mungkin boleh meningkat lagi tetapi kea­daan ini banyak bergantung kepada faktor luaran,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, emas menyumbang 60 peratus kepada jualan Habib.

Dalam pada itu, Meer Sadik memberitahu, sempena Bazar Merdeka selama 10 hari mulai 24 Ogos hingga 2 September ini, Habib menawarkan diskaun seba­nyak 70 peratus untuk produk berlian terpilih dan barangan batu permata serta harga antara RM10 hingga RM25 setiap gram untuk barang kemas 916 dan 999.

Katanya, para pelanggan juga akan menikmati barang kemas eksklusif dengan harga menarik khususnya loket emas 916 de­ngan corak Malaysia pada harga RM88, loket Jalur Gemilang emas berharga RM161, anting-anting mutiara yang berharga RM61 sepasang dan cincin lelaki bertatah batu moonstone pada harga RM388.