LIM GUAN ENG

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengurangan itu telah diambil kira berdasarkan bajet asal bagi tahun ini.

Walau bagaimanapun menurut beliau, pengurangan kutipan cukai ini bermakna bebanan cukai ke atas rakyat akan berkurangan.

“Dengan erti kata lain, kerajaan Persekutuan akan memulangkan RM17 bilion kepada rakyat se­mula dan secara langsung menyejahterakan rakyat Malaysia.

“Pengurangan kutipan dan bebanan cukai ini dapat lebih difahami dengan melihat kepada jumlah barangan dan perkhidmatan yang dicadang untuk dicukai di bawah SST,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng menambah, SST hanya merangkumi 38 peratus daripada bakul bara­ngan dan perkhidmatan indeks harga pengguna (CPI).

Katanya, ini jauh lebih rendah daripada jumlah barangan dan perkhidmatan CPI yang dikenakan GST iaitu 60 peratus.

Tambah beliau, dalam subkomponen CPI berkenaan, pembekalan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api, hanya 28 peratus barangan dan perkhidmatan itu dicukai di bawah SST manakala 59 peratus dikenakan di bawah GST.

“Apa yang jelas di sini adalah jumlah barangan dan perkhidmatan yang dicukai di bawah SST adalah jauh lebih rendah daripada jumlah barangan dan perkhid­matan yang dicukai di bawah GST.

“Semua ini bermakna kuasa membeli pengguna akan meningkat,” ujarnya.

Guan Eng menjelaskan, cukai tidak langsung yang akan diserap oleh pengguna adalah lebih rendah di bawah SST di mana jika sesuatu barang tersebut dikenakan cukai jualan, ia akan berkadar kosong peratus, lima peratus atau 10 peratus, bergantung kepada jenis barang.

“Oleh kerana cukai jualan adalah cukai seperingkat yang hanya dikenakan sekali atas pengilang, pengguna sebenarnya akan ha­nya berdepan kadar cukai yang lebih rendah daripada kadar yang digunakan,” katanya.