Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Jeffri Salim Davidson berkata, keseluruhan pasaran automotif akan mengalami kelembapan bagi suku terakhir tahun ini, namun akan pulih secara beransur-ansur.

“Secara teorinya, akan terdapat kenaikan harga kenderaan dalam pasaran automotif dan ini akan memperlahankan jualan dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebelum kembali seimbang.

“Ini kerana semua pembelian telah dilaksanakan lebih awal sepanjang kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya dalam sidang akhbar ketika membentangkan pencapaian Sime Darby bagi tahun kewangan 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Sime Darby, Datuk Thomas Leong dan Ke­tua Pegawai Kewangan Kumpulan itu, Mustamir Mohamad.

Sime Darby merupakan pemain industri utama di rantau Asia Pasifik dan sehingga kini mewakili 30 jenama automotif termasuk BMW, MINI, Porsche, Jaguar, Land Rover, Ford, Hyundai dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Sime Darby merekodkan keuntungan sebe­lum faedah dan cukai (PBIT) RM1.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018, meningkat 37 peratus daripada RM784 juta tahun kewangan sebelumnya.

Konglomerat berkenaan turut melaporkan peningkatan 8.8 peratus pendapatan dari tahun ke tahun kepada RM33.83 bilion daripada RM31.09 bilion.

Jeffri berkata, pendapatan kumpulan yang kukuh itu sebahagian besarnya disumbangkan daripada pemulihan sektor perlombongan di Australia dan pe­ningkatan perbelanjaan di China.

Menurut beliau, sektor perindustrian muncul penyumbang utama kepada kumpulan untuk tahun kewangan itu dengan PBIT RM612 juta, berbanding tahun lalu yang mencatat kerugian sebelum cukai dan faedah (LBIT) RM4 juta.

“Pemulihan sektor perlombongan di Australia ini sangat membantu kumpulan. Kami menyaksikan lebih banyak aktiviti di kilang selain margin yang lebih baik daripada peningkatan jualan alat ganti.

“Jualan peralatan di China turut merekodkan keputusan yang kukuh disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan pembinaan dan infrastruktur,” jelasnya.

Bagi sektor motor, kumpulan itu mencatatkan PBIT RM543 juta, lebih rendah berbanding pencapaian RM633 juta pada tahun lepas berpunca daripada pemberhentian perniagaan BMW di Vietnam.

Sementara itu, sektor logistik melaporkan peningkatan PBIT kepada RM74 juta daripada RM64 juta tahun ke tahun disokong oleh penghantaran dan keuntu­ngan yang lebih tinggi di Weifang Water.

Sektor penjagaan kesihatan pula menyaksikan Ramsay Sime Darby Health Care, usahasama antara Sime Darby dan Ramsay Health Care mencapai pendapatan yang lebih tinggi, me­nyumbang peningkatan 58 peratus kepada bahagian keuntungan kumpulan.