Pengerusi Eksekutif Axcelasia Inc., Dr. Veerinderjeet Singh berkata, bagaimanapun perkara itu sukar untuk direalisasikan dengan mengambil kira realiti sebenar apa yang berlaku ketika ini.

“Satu-satunya cara untuk memastikan ia dipulangkan kepada rakyat ialah melalui harga barang dan perkhidmatan yang rendah. Sebelum ini, cukai barang dan perkhidmatan (GST) mengutip antara RM43 bilion dan RM44 bilion manakala SST pula dianggarkan mengutip kira-kira RM26 bilion tahun ini.

“Sudah tentu berdasarkan anggaran itu, kutipan cukai akan berkurangan sekitar RM17 bilion hingga RM18 bilion tahun ini selepas kerajaan memberi tax holiday selama tiga bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 buat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat berkata, kutipan cukai akan berkurangan sebanyak RM17 bi­lion susulan pemansuhan GST dan akan dipulangkan semula kepada rakyat dengan menjangkakan kadar inflasi terkawal apabila SST dilaksanakan.

Pada masa yang sama, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berpendapat, jika cukai SST dikenakan pada kadar 10 peratus, harga barangan selain makanan segar dan dalam tin, akan melambung naik berbeza semasa GST. Beliau turut menyifatkan GST lebih telus dan efisien cuma kadarnya terlalu tinggi manakala SST pula terdedah kepada ketirisan.

Kenyataan itu turut dipersetujui penganalisis ekonomi di Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISI), Firdaos Rosli yang berpendapat, isu mengenai SST dan GST tidak perlu dilihat daripada aspek harga barang dan hasil cukai kerajaan sahaja tetapi perlu memastikan sistem percukaian yang boleh menangani cabaran ekonomi dan sosial secara progresif dan mapan.

“Apabila kita mencapai status negara yang mempunyai ramai penduduk warga emas pada 2030, ramai yang tidak akan membayar cukai pendapatan, jadi cukai penggunaan adalah cara terbaik untuk membolehkan kerajaan terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Selain itu, bagaimanakah kerajaan nak naikkan semula hasil cukai apabila cukai import sudah dikurangkan secara beransur-ansur sejak 1992 disebabkan perjanjian perdagangan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, SST tidak mampu mengurangkan harga kerana apa jua jenis cukai penggunaan sama ada GST atau SST akan ditambah ke atas harga barang dan perkhid­matan manakala harga tidak mungkin dapat dikembalikan ke tahap pra 2015 semata-mata atas sebab perubahan dalam sistem percukaian penggunaan.

“Bagi saya, ada banyak faktor yang menyebabkan harga tidak mungkin turun ke tahap sebe­lumnya seperti perubahan permintaan, kenaikan upah dan untuk barangan import dipengaruhi nilai ringgit.

“Sama ada SST akan mengurangkan harga, jawapan saya tidak. Jikalau ada pun, ia semestinya ketika tahap GST kadar sifar sekarang. Saya rasa kita akan lihat harga barang dan perkhidmatan mungkin kekal, sementara ada yang pasti akan naik disebabkan oleh kenaikan tambahan dalam cukai SST seperti harga kereta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakaria Abdul Rashid berkata, kerajaan sanggup mengorbankan pendapatannya kepada rakyat bagi memastikan pengguna mendapat kebaikan daripada pelaksanaan SST.

Dalam tempoh ini ujarnya, kerajaan juga amat bernasib baik kerana dengan harga minyak mentah yang tinggi hampir mencecah AS$75 (RM305.61) setong dapat membantu menampung kehila­ngan hasil cukai.

“Namun, pada ketika harga minyak rendah pula, kerajaan perlu mengambil langkah perbe­lanjaan yang berhemah dengan mengekang pembaziran dan ketirisan yang saya lihat adalah paling mapan kepada hasil kerajaan pada masa hadapan,” katanya.