Ada yang menyifatkan langkah mengguna semula sistem percukaian SST adalah satu langkah yang ke belakang dise­babkan kerajaan akan menanggung kerugian sebanyak RM21 bi­lion selepas memansuhkan GST bermula Jun lalu.

Namun, ramai juga yang menyokong pelaksanaan semula SST, tidak kurang pula yang menentang pelaksanaan itu. Netizen rata-ratanya menyokong SST kerana dianggap tidak membebankan berban­ding sistem percukaian semasa yang dianggap menekan pengguna sehingga menyekat kuasa membeli.

Ada juga pihak yang ragu-ragu sama ada harga barang akan turun ataupun tidak dise­babkan kenyataan beberapa bekas menteri sebelum ini ketika peralihan daripada SST ke GST yang mengatakan harga barang akan menjadi lebih murah pasca GST.

Perubahan utama dalam sistem cukai sememangnya mampu melonjakkan pertumbuhan pasaran runcit dalam jangka pendek, namun ia juga akan mengurangkan penggunaan dan perbelanjaan awam.

Untuk itu, pihak-pihak berkaitan perlu menangani isu-isu ini secara cekap, berkesan serta menyeluruh supaya orang ramai dapat memahami mekaniseme percukaian ini.

Jadi, adakah harga barang akan menjadi lebih rendah atau sebaliknya selepas 1 September ini?

Jawapan kepada perdebatan ini amat sukar untuk dirungkai kerana harga barang dipe­ngaruhi beberapa faktor antaranya:

  • Berapa banyak peringkat yang terdapat dalam rantaian bekalan produk antara pengeluar dan pengguna.
  • Produk dan perkhidmatan yang berbeza akan terbabit secara berbeza; contohnya kad prabayar, kereta, telefon bimbit dan makanan.
  • Pengecualian cukai yang diberi kepada pihak yang menjalankan perniagaan.

Berdasarkan pemerhatian sepanjang tempoh kadar sifar GST yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Jun 2018, beberapa barangan dilihat me­ngalami penurunan harga de­ngan ketara, malah sesetengah peruncit turut menjalankan promosi potongan harga bara­ngan sebanyak enam peratus untuk mengelakkan tempoh masa menunggu pengguna berbelanja sementara menantikan kadar sifar GST dikuatkuasakan.

Menurut data yang dikeluarkan Retail Group Malaysia, peningkatan jualan dapat dilihat dalam tempoh satu bulan pertama pelaksanaan kadar sifar GST. Ini turut dipacu de­ngan beberapa perayaan yang diraikan pada bulan berkenaan antara Hari Raya Aidilfitri, jualan sempena Hari Bapa dan Piala Dunia 2018.

Sesetengah syarikat perniagaan juga merekodkan pening­katan sebanyak 30 peratus dalam jualan manakala yang lain sekitar 10 peratus dan tidak kurang pula yang tidak merekodkan sebarang peningkatan dalam jualan.

Namun Pengarah Urusan Retail Group Malaysia, Tan Hai Hsin berkata, harga barangan runcit dijangka meningkat selepas tempoh ‘bulan madu’ kadar sifar GST selama tiga bulan.

Selain itu, kadar pembelian yang dibuat orang ramai juga dijangka perlahan untuk tempoh dua bulan pertama selepas berkuatkuasanya SST September ini dan kembali pulih menjelang November susulan orang ramai mula membuat pembe­lian musim cuti sekolah dan hari perayaan lain.

Jadi, isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan perlu dilihat secara menyeluruh terutamanya dalam me­ningkatkan kuasa beli rakyat melalui pelbagai mekanisme ekonomi dan kewangan yang boleh dilaksanakan.

Apa yang penting, rakyat perlu diberikan pemahaman secara jelas dan menyeluruh mengenai perubahan sistem GST kepada SST.

Yang paling penting adalah, setiap keadaan dan setiap perubahan pasaran mewakili peluang perniagaan baharu dan pengguna akan kekal berhati-hati ke atas setiap wang yang dibelanjakan dan pada masa yang sama, mereka sentiasa mencari alternatif lain yang memberi lebih nilai terhadap wang.