Ketua Spotify Asia, Sunita Kaur berkata, Spotify Premium yang kini memiliki lebih 60 juta pelanggan berbayar akan dicaj sebanyak 129 baht (RM16.61) iaitu selaras dengan harga di beberapa negara merentasi Asia.

Katanya, Spotify akan memperkenalkan pakej harian dan mingguan bagi meningkatkan potensinya di Thailand walau pun perolehan daripada syarikat perkhidmatan muzik dalam talian di negara berkenaan susut 20 peratus sejak tahun 2012.

“Pelancaran ini membawa Spotify ke 61 pasaran seluruh dunia dan sejajar dengan tumpuan utama syarikat bagi mengembangkan perniagaan dalam rantau Asia,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Spotify telah mula menembusi pasaran Asia sejak tahun 2013 dengan pelancaran di Hong Kong, Singapura dan Malaysia.

Syarikat berkenaan kemudiannya berjaya menembusi pasaran ekonomi terbesar di Asia Tenggara iaitu Indonesia dan pasaran muzik kedua terbesar di dunia iaitu Jepun tahun lalu.

Menurut laporan TechCrunch Mei lalu, Spotify dijangka meneruskan proses pengembangan perniagaan dengan menyasarkan menembusi pasaran Vietnam dan India.

Pengukuhan pasaran di Asia akan dapat membantu Spotify dalam usaha syarikat berkenaan yang dilaporkan sedang ber­usaha disenarai dalam pasaran awam menerusi penyenaraian langsung, kaedah penyenaraian tanpa melibatkan penerbitan tawaran awam permulaan (IPO).– AGENSI