Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk CJ Khor.

Beliau berkata, pelancaran utama akan dilaksanakan bagi wilayah tengah diikuti wilayah selatan dan utara.

“Kami telah membuat beberapa pelancaran di Kota Kinabalu dan pelancaran peringkat antarabangsa di Vietnam.

“Menerusi pelancaran besar-besaran pada suku kedua dan akan datang, kami akan berusaha dan bekerja keras bagi mencapai sasaran jualan RM5.65 bilion,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu di sini hari ini.

Khor berkata sasaran jualan berjumlah RM5.65 bilion bagi tahun kewangan 2019 meningkat 10 peratus berbanding 2018.

“Jualan akan diraih daripada pelancaran baharu bagi projek sedia ada selain inventori yang lengkap.

“Bagi pelancaran baharu, SP Setia menyasarkan jualan sebanyak 89 peratus daripada projek tempatan manakala baki 11 peratus lagi akan membabitkan jualan antarabangsa,” katanya.

Cadangan pelancaran utama di Lembah Klang itu melibatkan Setia Alam, Bandar Kinrara, Alam Impian, Setia Alamsari, Temasya Glenmarie, Setia Tropicale, Setia Ecohill 2, KL Eco City dan Setia Sky Seputeh Tower B, manakala di Johor membabitkan kawasan seperti Setia Tropika, Bukit Indah Johor, Setia Eco Gardens dan Taman Industri Jaya. - BERNAMA