Bagaimana pula jika ada rakan yang mengajak untuk ke negara yang terletak bersempadan dengan Austria dan Republik Czech ini?

Sudah pasti ada yang akan menolak atau tertanya-tanya apakah di sebalik keistimewaan Slovakia kerana ia bukan negara pilihan kebanyakan pelancong atau pengembara dari Malaysia.

Selain itu, tidak ramai yang menjadikan negara ini dalam senarai utama untuk me­lancong ke Eropah. Mungkin namanya tidak didedahkan atau tidak popular seperti negara lain yang mempunyai pelbagai daya tarikan.

Tetapi negara ini masih mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri. Malah Slovakia juga sebenarnya bukanlah pilihan Pasport UtusanBiz dan peluang ke sana hanya kebetulan kerana kedudukannya berhampiran Hungary iaitu hanya kira-kira dua jam perjalanan dengan menggunakan kereta api.

Jarak antara Austria dan Slovakia juga begitu hampir antara satu sama lain iaitu kira-kira sejam perjalanan dengan menggunakan bas.

Bagi yang merancang untuk ke negara yang berkapasiti kira-kira lima juta orang ini, tiada penerbangan secara terus dari Kuala Lumpur ke ibu negaranya iaitu Bratislava. Sebagai alternatif anda boleh menggunakan syarikat penerbangan lain.

Negara yang menggunakan mata wang Euro ini juga antara negara selamat untuk dikunjungi berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) iaitu menduduki tangga ke-26 sebelum ini. Setakat ini kadar tukaran mata wang adalah 1 Euro bersamaan RM4.79.

Kos perbelanjaan di negara ini juga tidaklah begitu mahal iaitu RM100 sehari minimum termasuk hostel dan juga makanan. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada perbelanjaan individu terbabit.

Jumlah tersebut memadai kerana tidak banyak sebenar­nya yang boleh dilakukan di Bratislava. Cukup sekadar dua hari untuk menjelajah bandar ini. Antara tempat yang mungkin boleh dikunjungi adalah Old Town, Grassalkovich Pala­ce iaitu kediaman presiden dan juga pelbagai monumen.

Sewaktu di sini, ada beberapa pengembara yang ditemukan turut mencadangkan supaya saya ke beberapa taman negara seperti Taman Negara Tatra dan Taman Negara Pieniny.

Tetapi disebabkan kesuntukan masa, hanya Bratislava sahaja yang sempat ‘diteroka’. Satu perkara yang diberi perhatian bagi pelancong Muslim sudah tentu berkenaan makanan halal. Di sini ada beberapa kedai makanan Turki yang menjual kebab dan juga makanan tradisi negara terbabit.

Untuk pengangkutan pula tidaklah sukar dan hampir sama seperti di negara Eropah yang lain. Jika hanya ingin menghabiskan masa di sekitar Old Town, cukup rasanya ha­nya berjalan kaki sahaja di­sebabkan ia bandar kecil sahaja.

Akhir sekali, jika ke sini elakkan bertentang mata terutama jika ke kelab malam kerana ia juga dianggap sebahagian daripada ancaman.