Zakaria Arshad

Penganalisis Maybank Investment Bank, Chee Ting Ong berkata, walaupun ia memberi kesan positif kepada margin pemain industri huluan, ia bagaimanapun mungkin memberi kesan negatif kepada industri hiliran.

“Walaupun kami percaya penggantungan cukai eksport MSM akan membantu meningkatkan permintaan, mengurangkan stok dan menyokong harga bahan komoditi tersebut, skim itu mungkin akan menjadi negatif bagi pemain hiliran Malaysia, terutama penapis bebas.

“Pemain industri hiliran kini perlu bersaing dengan pasaran eksport kerana sebelum ini cukai eksport sebanyak 5.5 peratus memberikan mereka kuasa tawar menawar untuk memasarkan MSM lebih murah daripada harga eksport,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan unjuran harga MSM bagi tahun 2018 pada kadar RM2,600 setan metrik.

Pada 5 Januari lalu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pelaksanaan skim itu bertujuan untuk mengurangkan stok minyak sawit dan mengukuhkan harga pasaran minyak sawit.

Menurut beliau, pelaksanaan skim berkenaan adalah satu langkah jangka pendek kerajaan bagi menangani kejatuhan harga yang menyaksikan harga MSM menurun secara ketara sejak Oktober tahun lepas.

Siew Keong berkata, pada Disember 2017, harga purata MSM telah Turun kepada RM2,372.50 pada tempoh minggu ketiga manakala stok minyak sawit pada November 2017 meningkat 16 peratus kepada 2.56 juta tan ekoran peningkatan dan pengeluaran eksport minyak sawit.

Sementara itu, Pre­siden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Datuk Zakaria Arshad berkata, tindakan kerajaan me­­ngecualikan cukai eksport MSM untuk tempoh tiga bulan dijangka memberi faedah kepada syarikat perladangan yang mempunyai operasi besar dalam sektor huluan dan mengukuhkan harga komoditi berkenaan pada suku pertama tahun ini.

“Dengan perkembangan ini, kami menjangkakan peningkatan permintaan kira-kira 30 hingga 50 peratus dalam jumlah eksport dari negara pengimport utama seperti India, Pakistan, China dan Eropah.

“Ini juga membolehkan kami meningkatkan bekalan ke kilang penapisan usaha sama kami di Pakistan pada harga yang lebih kompetitif” ujar beliau.

Zakaria berkata, FGV menjangkakan purata harga MSM bagi suku pertama 2018 akan meningkat dan didagangkan pada sekitar RM2,650 hingga RM2,750 setan metrik.