Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Profesor Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, selain itu Sirim juga akan memperuntukkan sampel sama di Sepang yang dijangka dilancarkan pada November depan.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada projek mewujudkan industri pembungkusan GB sebagai langkah memperkasa industri berkenaan melalui pewujudan rantaian nilai industri pembungkusan GB.

“Di bawah inisiatif ini juga, sistem pencernaan anaerobik turut diperkenalkan di premis makanan hijau yang akan merawat pembungkusan GB bersama sisa makanan untuk menghasilkan biogas dan biobaja sebagai pendekatan membaikpulih sumber dan seterusnya mengurangkan pelepasan gas hijau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di bawah projek Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) itu, Medan Selera USJ 7, Subang Jaya dipilih sebagai tapak rintis premis makanan hijau yang ketiga selepas Medan Ikan Bakar Kampung Gelam, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Medan Selera Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka.

Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali dan Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Teknologi Hijau KeTTHA, Rogayah Kadari dan Naib Presiden Perindustrian Sirim, Ir. Dr. Mohamad Jamil Sulaiman.

Pembungkusan GB merupakan teknologi pembungkusan inovatif yang menggabungkan konsep biodegradasi dan pembaik pulih sumber bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan perniagaan.

Dalam pada itu Ahmad Fadzil berkata, bagi tujuan pensijilan Pelabelan Eko Premis Makanan Mesra Alam, sebanyak 65 gerai di medan selera terpilih akan mene­rima khidmat perundingan sebagai persediaan awal sebelum audit dijalankan oleh badan pensijilan SIRIM QAS International.