Menjawab pertanyaan media, Monetary Authority of Singapore (MAS) (Perbadanan Kewangan Singapura) berkata, pihaknya sudah meminta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menjelaskan kedudukannya dan akan menunggu makluman terkini berhubung perkara itu.

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengumumkan bahawa, pautan dagangan itu akan dikaji semula.

Pada 6 Februari 2018, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan penubuhan pautan dagangan bursa saham antara kedua-dua bursa pada Simposium Pasaran Modal Dunia 2018.

Berikutan itu, MAS dan SC, dalam kenyataan bersama, berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memudahkan penubuhan pautan dagangan bursa saham menjelang hujung tahun ini.

Pautan dagangan itu akan membolehkan pelabur memperdagangkan dan menyelesaikan urusniaga saham yang disenaraikan di bursa saham masing-masing dengan lebih mudah dan dengan kaedah yang lebih efisyen dari segi kos.

Pelabur runcit terutamanya, akan mendapat faedah daripada pautan berkenaan, kata kenyataan bersama itu. - BERNAMA