Tinjauan Bloomberg terhadap 21 ahli ekonomi mendapati separuh daripadanya telah menjangkakan tindakan ber­ke­naan sementara selebihnya berpendapat tiada perubahan. Dolar Singapura meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 1.3742 berbanding Dolar AS pada awal pagi ini.

Diterajui oleh Rizab Persekutuan AS, bank-bank pusat global dalam beberapa tahun kebelakangan ini semakin meninggalkan dasar yang mudah didorong oleh pertumbuhan kukuh dan kenaikan perlahan terhadap inflasi.

Perdagangan Singapura dilihat akan mencatatkan pertumbuhan sederhana iaitu antara 2.5 peratus hingga 3.5 peratus berbanding 3.6 peratus pada 2017.

Dalam laporan berbeza, Singapura mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga sebanyak 4.7 peratus dan ekonomi berkembang pada 2.6 peratus tahun ke tahun.

Permintaan untuk produk elektronik, pembuatan bio perubatan dan kejuruteraan pengangkutan memacu sektor pembuatan dengan pertumbuhan 7.6 peratus berbanding suku sebelumnya sementara pembinaan berkembang 1.7 peratus.

Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Monetari Singapura, Ravi Menon berkata, tiada sebab untuk reaksi berlebihan terhadap konflik perang dagangan dan setiap ekonomi global memiliki dasar yang menyokong daya tahan mereka.

Pada April lalu, bank pusat berpendapat konflik yang berlaku akan memberikan kesan ketara terhadap perdagangan global sekiranya ketegangan semakin memuncak dari semasa ke semasa.

Menurut Ketua Penyelidikan di Australia dan New Zealand Banking Group Ltd., Khoon Goh, pihak berwajib akan terus memantau keada­an itu kerana terdapat risiko di sebaliknya.

“Jika terdapat bukti jelas yang menunjukkan aktiviti (perang dagangan) itu masih berlarutan, maka mereka akan menganggap ia sebagai risiko berbanding faktor asas atau faktor keputusan dasar mereka,” jelasnya. – AGENSI