Syarikat-syarikat di negara republik tersebut telah mengumumkan pengambilalihan kira-kira AS$91 (RM377.56) bilion di luar negara setakat September lalu, lebih daripada dua ganda AS$41.9 (RM173.84) bilion urus niaga bagi tempoh sama pada 2017, menurut data yang dikumpul Bloomberg.

Urus niaga itu didominasi Temasek Holdings Pte dan GIC Pte, tetapi syarikat lain juga bakal mencatat transaksi terbesar masing-masing, untuk menjadikan Singapura di persada dunia.

Bilangan besar aktiviti itu menunjukkan kesungguhan baharu syarikat-syarikat Singa­pura untuk melaksanakan pendekatan lebih agreasif ketika memuncaknya perang perdagangan antara China - satu daripada jiran terdekat republik itu, dengan Amerika Syarikat.

Malah, faktor pendorong lain ialah unjuran ekonomi yang dijangka berkembang paling perlahan sejak 2016, turut menekan syarikat-syarikat Singapura untuk meninjau perniagaan di luar negara bagi meraih hasil.

“Jelas kita menyaksikan kemahuan dalam kalangan syarikat Singapura untuk menuju global,’’ kata Ketua Korporat dan Pelaburan Perbankan Citigroup Asia Tenggara, David Biller. “Ramai pasukan pene­raju generasi akan datang di dalam organisasi ini dianggotai eksekutif yang berpengalaman di dalam syarikat multinasional dan mereka membawa fokus terhadap pertumbuhan rentas sempadan,’’ ujarnya.

Citigroup menjadi penasihat kepada Singapore Technologies Engineering Ltd. bagi urus niaga bernilai AS$630 juta (RM2.61 bi­lion) - yang terbesar bagi syarikat itu, untuk membeli pengeluar komponen enjin pesawat dari General Electric Co.

CapitaLand Ltd. pula di dalam proses mengambil alih portfolio hartanah di AS bernilai $835 juta (RM3.46 bilion) yang merupakan transaksi terbesar­nya sejak 2010, manakala Singapore Press Holdings Ltd., pemilik akhbar Straits Times, bulan lalu membeli beberapa kemudahan pelajar di United Kingdom bernilai S$321 juta (RM965 juta).

Bukan sahaja jumlah kese­luruhan nilai urus niaga yang meningkat, tetapi bilangan syarikat Singapura telah terlibat di dalam 468 urus niaga sebagai pembeli syarikat asing sepanjang tahun ini setakat September, iaitu pertambahan 7.8 peratus daripada tempoh sama pada 2017. Di peringkat global, aktiviti M&A naik 2 peratus.

“Untuk mencapai pertumbuhan organik di dalam pasaran yang secara relatifnya kecil se­perti Si­ngapura adalah sulit dan membina keupayaan dan skala akan menjadi semakin penting bagi korporat untuk kekal relevan di peringkat global,’’ kata Ketua Bersama Pelaburan Perbankan dan Pasaran Modal Credit Suisse Group AG di Asia Tenggara, Pankaj Goel.

Di China, syarikat Singapura terlibat di dalam 68 pengambalilalihan syarikat China, de­ngan nilai melonjak dari AS$3.8 (RM15.77) bilion bagi tempoh Januari-September 2017, kepada AS$19.5 (RM80.91) bilion tahun ini, menurut data Bloom­berg. – AGENSI