Malah bangunan yang membabitkan syarikat korporat termasuk hotel itu didapati sudah beroperasi melebihi dua tahun walaupun dikesan gagal memenuhi kriteria dan aspek keselamatan seperti ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

Perkara itu didedahkan Penga­rah JBPM Kuala Lumpur, Khirudin Drahman yang turut menyifatkan kelompok tersebut kini umpama ‘cacing kepanasan’ berkaitan pemilikan sijil FC di bawah peme­rintahan kerajaan baharu.

“Tidak dinafikan premis yang besar itu dahulu mereka ada ‘hubungan’, jadi mereka tutup mata terhadap pihak bomba. Namun kini di bawah kerajaan baharu mereka tidak senang duduk.

“Ini adalah perkara yang serius dan Ketua Pengarah serta menteri juga telah memberi arahan yang jelas berkaitan isu tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas maj­lis Penyerahan Alat Pemadam Api di Ibu pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khirudin memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan notis terhadap syarikat korporat yang dikesan tidak mempunyai sijil FC dan tindakan pendakwaan akan diambil jika mereka gagal memberi maklum balas dalam tempoh masa ditetapkan.

Beliau turut mengingatkan pemilik-pemilik syarikat korporat agar tidak memandang ringan terhadap pemilikan sijil FC kera­na akan menyukarkan pihak bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat.

“Jika sesebuah bangunan tidak mempunyai FC, ia dianggap premis yang tidak sah dan apabila berlakunya kebakaran akan timbul masalah terutamanya dalam tuntutan insurans,” ujarnya.

Mingguan Malaysia pada Ahad lalu mendedahkan pejabat syarikat konglomerat dengan ketinggian lebih 250 meter merupakan antara 415 premis tinggi di ibu negara yang didakwa tidak mempunyai FC walaupun te­lah beroperasi lebih dua tahun.

Difahamkan, sistem keselamatan untuk menentang kebakaran di dalam bangunan milik sebuah syarikat terkemuka itu juga tidak berfungsi dengan baik selain terdapat beberapa masalah teknikal yang menyebabkannya tidak la­yak mendapat kelulusan FC.